Situasi Covid-19 10.10.2020

Petikan dari FB Dr. Noor Hisham Abdullah

Analisa Situasi COVID-19; 10 Okt 2020:

1. Jika dilihat pecahan utama jumlah kes terkini, ianya menunjukkan trend yang hampir sama dengan semalam. Negeri Sabah mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 277 kes (74.1 peratus). Lebih banyak aktiviti saringan terus dijalankan di lapangan, terutama di pelbagai daerah PKPD dan PKPD secara pentadbiran, dan kapasiti ujian terus dipertingkatkan.

2. Negeri Kedah pula mencatatkan 27 kes (7.2 peratus) yang kesemuanya adalah daripada Kluster Tembok. Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara manakala kluster-kluster lain adalah terkawal hasil tindakan kesihatan awam yang telah dijalankan. Di Kedah, tiada kluster baru dilaporkan dan kluster aktif yang lain pula tidak mencatatkan kes baharu.

3. Negeri-negeri Lembah Klang pula merangkumi 13.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Negeri Selangor mencatat 44 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 4 kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya 1 kes.

4. 17 daripada 374 kes dilaporkan hari ini adalah merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, sekaligus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 341 kes. 6 daripada 17 kes tersebut telah dilaporkan di negeri Selangor (35 peratus).

5. Enam kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini iaitu 4 kluster di negeri Selangor, 1 kluster di negeri Sarawak dan 1 kluster di negeri Sabah. 10 kluster aktif lain turut mencatat kes positif COVID-19 pada hari.

6. Dua jururawat dikesan positif COVID-19, bertugas di Hospital Queen Elizabeth 2. Sejak awal wabak sehingga kini, 198 orang kakitangan KKM di negeri Sabah telah dijangkiti COVID-19. Bulan Oktober setakat ini sahaja telah mencatat jumlah paling tinggi iaitu 85 orang, berbanding bulan September iaitu 66 orang. Susulan kes positf jururawat tersebut, 92 pegawai perubatan dan jururawat di HQE2 telah disaring, di mana 40 jururawat telah dikuarantinkan. Pun begitu perkhidmatan di ICU HQE2 masih berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit daripada 8 kepada 6 pesakit.

7. Bagi membantu menangani situasi di Sabah, keupayaan sumber manusia dan katil di negeri Sabah terus dipertingkatkan. Secara keseluruhannya, seramai 475 orang anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan telah digerakkan secara dalaman negeri Sabah dan juga daripada negeri-negeri lain ke negeri Sabah. Mereka ditempatkan di Tawau, Lahad Datu, Semporna, dan Kota Kinabalu. Kapasiti katil juga ditingkatkan dengan pembukaan lebih banyak hospital untuk COVID-19 dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah di Sabah, menjadikan jumlah katil bagi pesakit COVID-19 di Sabah kini 4,822 katil.

8. Semua petugas kesihatan/perubatan diingatkan bahawa mereka juga boleh dijangkiti COVID-19 di dalam komuniti mahupun semasa bertugas. Semasa bertugas, gunakan PPE yang bersesuaian dan patuh kepada panduan amalan klinikal. Semasa di dalam komuniti, patuhlah kepada SOP seperti masyarkat umum juga. Ruang kerja yang sempit dan ruang pantri di tempat kerja juga perlu dipastikan sentiasa bersih bagi mengelakkan penularan di tempat kerja.

Peperangan dengan COVID-19 hanya boleh dimenangi dengan kesepaduan SEMUA PIHAK, tidak kira latar belakang, pangkat, darjat, profession dan sebagainya, mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Untuk kita berjaya, tiada seorang terkecuali. Pastikan kita jaga kita, keluarga kita, masyarakat kita dan Negara kita.

Related posts

Leave a Comment