Filipina catat peningkatan

FILIPINA setakat pukul 4 petang Jumaat, 9 Oktober 2020, merekodkan 2,996 kes baharu Covid-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes di negara itu meningkat kepada 334,770 kes.

Jabatan Kesihatan (DoH) juga melaporkan 83 lagi pesakit meninggal dunia yang menjadikan jumlah keseluruhan 6,152 kematian.

Sementara itu jumlah kes pesakit sembuh yang dicatatkan hari ini adalah 1,045 yang membawa jumlah pemulihan keseluruhan sebanyak 275,307 sementara kes aktif pula 53,311.

THAILAND  merekodkan enam kes baharu Covid-19, semuanya melibatkan mereka yang dikuarantin sejurus tiba dari Myanmar, Nepal, Norway dan Amerika Syarikat.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), dua kes masing-masing dari Myanmar dan Amerika Syarikat dan satu masing-masing dari Nepal dan Norway.

Ia melibatkan empat warganegara tempatan dan dua bukan warganegara.

Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes di Thailand kini 3,628 manakala jumlah kematian kekal 59.

Daripada 3,628 kes, sebanyak 3,441 atau 94.85 dilaporkan pulih termasuk dua yang keluar hospital pada 8 Oktober. Sebanyak 128 lagi pesakit masih dirawat di hospital.

SINGAPURA pula melaporkan 10 jangkitan baharu Covid-19 setakat 12 tengah hari Jumaat , di mana sembilan daripadanya adalah kes import. Ini membawa jumlah kes meningkat kepada 57,859.

Kementerian Kesihatan (MOH) dalam laporan awal hariannya, memaklumkan baki kes menetap di asrama sementara semua kes import  diletakkan di bawah Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik sahaja mereka sampai di Singapura.

Tiada kes baru dalam masyarakat dilaporkan pada Jumaat,  hari ketiga berturut-turut minggu ini tanpa jangkitan dalam masyarakat dicatatkan..

Related posts

Leave a Comment