PUTRAJAYA: Tiada pengecualian. Wajib kuarantin 14 hari bagi pemimpin-pemimpin kerajaan serta delegasi yang ke luar negara atas urusan rasmi, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, kerajaan setuju pemimpin-pemimpin boleh ada rundingan dan urusan rasmi di luar negara dalam keadaan-keadaan tertentu kerana sebab-sebab khusus untuk kepentingan negara.
“Persetujuan itu bagaimanapun dengan syarat, bila pemimpin-pemimpin kita pulang, mereka perlu dikuarantin 14 hari. Tiada pengecualian (kuarantin) kepada sesiapa,” katanya dalam sidang media hari ini, 3 Oktober.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pagi Sabtu.
Ismail Sabri juga memaklumkan, kerajaan turut membenarkan kehadiran pemimpin-pemimpin dari negara luar atas urusan rasmi atau rundingan.
Bagaimanapun, delegasi luar juga, tidak ketinggalan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Antara SOP itu ialah, kunjungan delegasi luar yang dibenarkan hanyalah kepada pemimpin bertaraf menteri ke atas sahaja atas urusan rasmi.
Kesemua delegasi itu juga perlu menjalani ujian Covid-19 (swab test) tiga hari sebelum kedatangan mereka.
“Sampai sahaja di lapangan terbang, mereka sekali lagi perlu menjalani swab test sebelum dibawa ke tempat penginapan.
“Kalau mereka datang atas urusan mesyuarat, habis sahaja mesyuarat mereka perlu terus balik ke negara mereka,” jelas Ismail Sabri lagi.
Delegasi luar yang ingin berkunjung ke Malaysia juga, hanya dibenarkan menaiki pesawat yang disewa khas dan bukannya melalui penerbangan komersial.