Jangan lagakan genggaman

ORANG ramai dinasihatkan mengelakkan  fist bump’ atau menggenggam tangan dan melagakannya apabila berjumpa untuk mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan I, Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata perbuatan itu membabitkan sentuhan fizikal yang tidak digalakkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Jangan bersalaman dan bersentuhan termasuk lagakan anggota badan, namun hari ini saya lihat trend bukan sahaja melakukan begini (fist bump) tetapi genyeh lagi, adakah kita mencuci tangan selepas itu.

“KKM hanya anjur hormat dengan meletak tangan di dada dan tunduk hormat, jadi saya lihat trend yang sedang berlaku kini tidak baik dan saya sarankan supaya berhati-hati,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Lim Pay Hen yang bertanyakan perancangan kerajaan hadapi wabak Covid-19 yang dijangka oleh saintis akan berlanjutan dua tahun lagi termasuk dari segi perjawatan pegawai perubatan.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, Malaysia terbukti sebagai antara negara yang berjaya mengawal dan mengurus wabak itu dengan baik sehingga diiktiraf dunia dan kerajaan akan melipatgandakan usaha itu.

“Kita akan terus memantau perkembangan wabak ini dari semasa ke semasa kerana kita masih belum mengenalinya, senjata yang kita ada ada ketika ini hanyalah pelitup muka dan pensanitasi tangan, selain penjarakan fizikal,” katanya.

Related posts

Leave a Comment