149,408 kes di Indonesia

KES positif Covid-19 di Indonesia terus meningkat, secara keseluruhannya kini berjumlah 149,408 kes dengan 78,877 pesakit masih dalam pemantauan virus itu.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, hari ini, sebanyak 2,197 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam di republik itu.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, sebanyak 82 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini 6,500 orang.

Bagi tempoh 24 jam itu, provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kes positif baharu tertinggi iaitu 657 kes, dengan 15 lagi kematian.

SINGAPURA merekodkan 117 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan 13 daripadanya adalah kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah 56,216. Terdapat enam kes dalam komuniti.

Menurut data lengkap yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 822 kes sebagai kes import, 2,209 kes komuniti dan 53,068 sebagai kes penghuni asrama.

Sejumlah 53,119 pesakit pulih sepenuhnya sementara 75 kes masih di hospital.

Sejumlah 2,878 pesakit yang bergejala ringan atau dari segi klinikal sihat tetapi masih positif dalam saringan Covid-19 telah diasingkan dan dijaga di pusat jagaan komuniti. Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.

THAILAND melaporkan satu kes baharu pada Jumaat, 22 Ogos melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun yang pulang dari Singapura pada 7 Ogos lalu.

Lelaki itu dikuarantin di kemudahan yang disediakan di Chan Buri dan ujian kedua menunjukkan dia positif walaupun tanpa sebarang gejala.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), jumlah kes setakat ini 3,390 manakala jumlah kematian pula kekal 58 orang sejak 2 Jun lalu.

Sementara itu Thailand akan melanjutkan perintah darurat yang berakhir 31 Ogos ini hingga akhir September – pelanjutan kelimanya – berikutan situasi  Covid-19 di seluruh dunia yang masih membimbangkan.

Mesyuarat CCSA, yang dipengerusikan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha bersetuju melanjutkan Ketetapan Darurat, yang dilaksanakan sejak 26 Mac lalu.

Related posts

Leave a Comment