86 kes baharu di Singapura

SINGAPURA : Jumlah kes Covid-19 di republik ini meningkat kepada 55,747 kes apabila 86 lagi kes baharu dengan enam kes import dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Menurut data ringkas Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini (16 Ogos) , kesemua kes import itu telah diserahkan notis kuarantin di rumah sebaik tiba di Singapura.

Mengenai kes komuniti, dua kes dilaporkan melibatkan rakyat Singapura dan pemegang pas kerja manakala majoriti kes melibatkan pemegang permit kerja yang sedang dikuarantin. 

Setakat 12 tengah hari semalam, republik itu mengklasifikasikan 800 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,204 sebagai kes komuniti dan 52,657 kes penghuni asrama.

Sejumlah 51,521 pesakit atau kira-kira 93 peratus daripada jumlah kumulatif kes telah pulih sepenuhnya sementara 83 kes disahkan masih berada di hospital.

Sejumlah 4,030 pesakit yang mengalami gejala ringan, atau secara klinikalnya sihat tetapi masih positif dalam saringan Covid-19 , telah diasingkan dan dijaga di pusat jagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu. 

Related posts

Leave a Comment