Filipina catat 147,526 kes

INDONESIA merekodkan 2,098 kes positif baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 132,816, manakala 76,515 lagi pesakit masih dalam pemantauan virus itu.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini juga, 65 lagi kematian direkodkan menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 5,968 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 27,761 kes, diikuti Jawa Timur (26,561)  dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,953 orang, diikuti Jakarta (970), Jawa Tengah (765), Sulawesi Selatan (339) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

SINGAPURA melaporkan 102 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan enam daripadanya adalah kes import. Lima kes dalam komuniti pula melibatkan seorang warga Singapura dan empat pemegang pas pekerja, manakala selebihnya adalah kes membabitkan pekerja migran yang ketika ini sedang dikuarantin.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, perkembangan ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di republik itu  sebanyak 55,497.

Sehingga tengah hari semalam, republik itu mengklasifikasikan 774 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,196  kes dalam komuniti dan 52,425 melibatkan penghuni asrama.

Sejumlah 50,520 pesakit atau 92 peratus daripada kes terkumpul telah pulih sementara 92 kes masih berada di hospital. Jumlah kematian kekal 27.

THAILAND pada Khamis, 13 Ogos mencatatkan tiga kes baharu koronavirus Covid-19 yang melibatkan kes kuarantin mereka yang tiba dari Singapura dan  India.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 3,359.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) dalam satu kenyataan memaklumkan kes baharu itu melibatkan seorang pekerja  pembinaan berusia 53 tahun.

Dia tiba pada Jumaat dan dikuarantin di Chon Buri. Lelaki itu diuji positif pada Selasa. Dua lagi kes adalah dari India, berusia 30. Mereka tiba pada Sabtu lalu dan dikuarantin di Bangkok..

Daripada 3,169 kes sembuh (94%), sebanyak 132 pesakit masih di hospital. Jumlah kematian pula kekal 58 sejak 2 Jun.

FILIPINA setakat pukul 4 petang hari ini, 13 Ogos 2020 merekodkan 4,002 kes yang membawa kepada jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 sebanyak 147,526.

Jabatan Kesihatan (DOH) juga mengumumkan 23 kematian yang menjadikan jumlah pesakit yang meninggal dunia kini 2,426 orang.

Di samping itu, jabatan turut melaporkan mengenai kes sembuh di mana 1,403 pesakit sembuh yang membawa jumlah keseluruhan sembuh kepada 70,387. Kes aktif pula 74,713.

Related posts

Leave a Comment