Perlis tutup 12 masjid

ARAU : Semua 12 masjid  dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan kawasan berdekatan ditutup mulai hari ini sehingga ke satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengeluarkan arahan penutupan itu berikutan berulangnya penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, berikutan penutupan itu, solat Jumaat hari ini diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs dalam satu kenyataan bertitah individu yang berada dalam kawasan terlibat juga dilarang keluar dari kariah masing-masing untuk melakukan solat atau mengimarahkan masjid di kariah lain.

Tujuh masjid yang ditutup di DUN Sanglang ialah Masjid Al-Rahman,Kampung Simpang Sanglang; Masjid Al-Maghfirah, Sungai Korok; Masjid Darul Salam, Kampung Padang Keria; Masjid Al-Makmur, Kampung Bongor Kudung; Masjid Al-Furqan, Kampung Bunga Emas; Masjid Asy-Syakur, Kampung Permatang Bongor dan Masjid Dato’ Jaafar Hassan, Kampung Sungai Padan.

Turut ditutup ialah tiga buah masjid dalam DUN Simpang Empat iaitu Masjid Putra, Simpang Empat; Masjid Al-‘Ilmi, Sungai Berembang dan Masjid Ameer Fawwaz, Kampung Sungai.

Sementara itu, dalam DUN Guar Sanji, dua buah masjid yang tersenarai ialah Masjid Nurul Yaqin, Kampung Chantik Bangun dan Masjid Nurul Muttaqin, Kampung Che Ok.

Setakat semalam, terdapat sebanyak 9,038 jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negara ini dan Perlis merekodkan 20 kes dengan pertambahan dua kes baharu membabitkan seorang warga tempatan pada 4 Ogos dan banduan warga asing pada 29 Julai.

Related posts

Leave a Comment