Pilih setia, tolak ‘katak politik‘

PARTI Warisan Sabah (Warisan) akan mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 (PRU14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya, Mohd Shafie Apdal berkata, beliau akan berbincang dengan rakan-rakan partinya untuk menentukan parti mana daripada Warisan-Plus akan bertanding di 24 lagi kerusi yang gagal ditawan oleh Warisan pada PRU14..

”Kerusi yang dimenangi oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), DAP, PKR pula dipertahankan oleh parti masing-masing,”  katanya selepas mempengerusikan mesyuarat  Warisan di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata beliau turut meminta setiap ketua bahagian Warisan untuk mengemukakan calon sebelum dibincangkan bersama parti lain bagi memastikan kemenangan dalam PRN nanti.

Katanya, beliau juga telah memaklumkan persediaan Warisan kepada presiden parti dalam Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN.

Mengulas mengenai 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu, beliau berkata parti itu akan menyusun atur dengan baik (penentuan calon) di setiap kawasan DUN berkenaan.

Sementara itu, melalui facebooknya, Shafie berkata, setia kepada parti dan tidak akan melompat seperti ‘katak politik’ adalah antara kriteria utama yang menjadi pertimbangan dalam meletakkan calon sama ada mewakili Warisan, Pakatan Harapan (PH) Sabah dan UPKO.

“Kesetiaan kepada parti penting kerana jika tidak, tiada gunanya meletakkan calon yang mempunyai kredibiliti sekalipun jika akhirnya mereka melompat parti dan berpaling tadah,” katanya.

Katanya, muka baharu dan juga sedikit latar belakang keupayaan kebolehan dari segi pendidikan tetapi kriteria utama kita ialah bukan hanya muka baru bukan hanya berkelulusan tetapi yang kita tidak mahu melompat.

“Kita boleh letak pemegang ijazah kita boleh letak pakar kita boleh letak doktor tetapi esok melompat tiada gunanya, bagi kita keutamaan mereka mesti mempunyai kesetiaan terhadap perjuangan yang ada,” katanya.

Related posts

Leave a Comment