Siapa tidak jujur, tidak ikhlas?

“UNTUK berkongsi hidup, apatah lagi berkongsi kuasa, keikhlasan dan kejujuran merupakan prinsip utama perkongsian. Apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan, sebarang perkongsian harus dinilai semula,”.

Itu catatan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman sosial Facebooknya hari ini. Apakah maksud kata-kata itu?

Siapa yang dimaksudkan tidak ikhlas dan tidak jujur?

Semalam Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO akan mengambil keputusan politik yang besar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan penyelewengan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketika beliau meminta ahli UMNO berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh parti, kata-kata itu membayangkan landskap politik negara sekali lagi akan berlaku perubahan.

Kenyataan itu menunjukkan hasrat UMNO untuk menilai semula ‘perkongsian’ kuasa yang ada sekarang melibatkan Pas dan Bersatu serta sekumpulan bekas anggota Parlimen PKR.

Jika isu hukuman ke atas Najib menjadi punca, ia sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana ini melibatkan undang-undang bukannya ‘keputusan politik’. Biar apa pun pandangan, hakikatnya kes itu melalui proses mahkamah.

UMNO perlu lebih matang dalam membuat keputusan supaya tidak ada pihak terutama Melayu yang rugi. Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar.

Semoga apa juga keputusan tidak melibatkan permainan politik di mana ada saja yang akan cuba menangguk di air keruh.

Related posts

Leave a Comment