Jokowi ‘marah dan kecewa’

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi kata dua untuk merombak Kabinetnya yang dilihat ‘lembap’ ketika menghadapi krisis dalam menangani pandemik Covid-19 di republik itu.

Jokowi tampak kecewa kerana ada dalam kalangan anggota Kabinetnya masih bertindak seperti dalam keadaan normal walaupun wabak sedang melanda.

Dalam satu video mesyuarat Kabinet pada 18 Jun dan dikeluarkan Istana Presiden pada 28 Jun, Jokowi menunjukkan ‘kemarahannya’ dengan cara anggota Kabinet mempertaruhkan reputasi politiknya.

Beliau mahu anggota Kabinet merasai situasi yang wujud pada hari ini dan memberi perhatian demi menjaga kepentingan 267 juta penduduk Indonesia yang terkesan dengan wabak itu.

Jokowi kecewa kelewatan pengeluaran dana seperti bantuan kepada warga miskin; rangsangan perniagaan untuk mengelak pemberhentian pekerja, membeli peralatan perubatan dan elaun khas doktor perubatan dan jururawat.

Beliau marah dengan laporan bahawa Kementerian Kesihatan telah membelanjakan hanya 1.5 peratus daripada 75 trilion rupiah ($7.3 bilion) yang diperuntuk kepada kementerian itu sebagai dana kecemasan untuk menangani wabak tersebut.

“Saya mengambil langkah terbuka, sama ada secara politik mahupun pemerintah. Saya akan mengambil tindakan luar biasa demi 267 juta penduduk Indonesia.

“Saya mungkin membubarkan agensi pemerintah (yang terbukti tidak berkesan), melakukan rombakan Kabinet. Saya telah menimbangkan pelbagai langkah,” kata Jokowi.

Kabinet Jokowi terdiri daripada 34 menteri Kabinet yang berasal daripada pelbagai parti politik dalam gabungan yang menyokongnya. Selebihnya, terdiri daripada teknokrat dan juga usahawan dan peniaga berjaya.

“Segera belanjakan bajet anda secepat mungkin kerana ini akan mendorong perbelanjaan pengguna. Sekiranya anda menghadapi halangan, buatlah dasar baru untuk mempercepat prosesnya,” kata Jokowi.

Beliau mahu dana daripada pakej rangsangan ekonomi harus segera diberikan kepada perniagaan, menekankan bahawa tidak ada gunanya jika pemerintah membantu hanya setelah mereka muflis.

“Sangat bahaya jika kita tidak ada rasa sedang hadapi krisis. Perusahaan mikro, kecil, sederhana, besar, perbankan dan segala yang berkaitan dengan ekonomi perlu dibantu,” katanya.

Beliau menarik perhatian supaya memberi keutamaan kepada sektor perkilangan, industri berintensif buruh suoaya tidak akan ada pemberhentian kerja.

“Jangan tunggu sehingga ada pemberhentian besar,” tegas Jokowi.

Perangkaan Kementerian Kewangan pada Mei lalu menunjukkan pemerintah telah komited untuk membelanjakan 641.15 trilion rupiah bagi mengurangi kesan pandemik Covid-19, termasuk ke atas perniagaan.

Related posts

Leave a Comment