Chok Tong bersara dari politik

MENTERI Kanan Singapura Goh Chok Tong mengumumkan persaraan daripada politik dengan tidak menyertai Pilihan Raya Umum negara itu pada 10 Julai ini.

Mantan Perdana Menteri itu menemui Perdana Menteri (PM) Lee Hsien Loong pada 24 Jun lalu bagi menyerahkan surat bersara sebagai Ahli Parlimen Marine Parade GRC.

“ Saya berterima kasih kepada PM kerana memahami dan menerima” katanya dalam catatan Facebooknya.

Goh berkata, adalah amat menyedihkan untuk mengakhiri satu fasa dalam kehidupan dan memulakan sesuatu yang baharu selepas 44 tahun menjadi ahli Parlimen ketika menyertai pilihan raya pada tahun 1976.

Goh dalam catatannya berkata, beliau bersetuju menyertai pilihan raya ketika itu kerana telah mendapat faedah daripada pemerintah yang baik.

Katanya, walaupun ada rakan parti dan pemimpin akar umbi mendesak beliau untuk kekal mewakili mereka pada PRU akan datang tetapi dengan berat hati beliau  memutuskan untuk tidak melakukannya.

“Walaupun saya masih sihat, saya bimbang saya tidak akan mempunyai tenaga yang sama untuk berkhidmat setelah saya menjadi octogenarian tahun depan (terdengar tua, bukan?). Ia tidak adil bagi anda,” katanya.

Menurut Goh, beliau akan digantikan dengan Dr. Tan See Leng yang telah membantunya selama kira-kira dua tahun.

“Marine Parade akan sentiasa mendapat tempat yang istimewa di hati saya. “MParader” ini istimewa dan berbangga dapat berkhidmat sebagai MP anda. Seiring dengan lagu konstituen kami, “tidak ada tempat lain yang lebih saya sukai, di Marine Parade bersama keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Lee berkata, “dengan rasa amat sedih” beliau menerima keputusan Goh untuk bersara yang dimaklumkan kepadanya menerusi sepucuk surat,

“Kami telah bekerja bersama-sama selama hampir 40 tahun,” tulis Lee dalam catatan di Facebook beliau semalam yang turut disertakan dengan gambar beliau dan Goh.

Lee menyatakan Goh telah melalui perjalanan politik luar biasa dan menjadi Ahli Parlimen kawasan Marine Parade pada usia 35 tahun, dengan beliau berkhidmat mewakili kawasan itu sejak 1976. 

“Beliau pernah memegang pelbagai portfolio sebelum diminta oleh rakan-rakan menteri (termasuk saya) menjadi Perdana Menteri kedua Singapura dan beliau tidak mengecewakan Singapura.

“Saya secara peribadi akan selamanya terhutang budi pada Chok Tong, yang  membawa saya menceburi politik. Persahabatan kami amat akrab sepanjang kerjaya saya dalam politik dan begitu juga beliau – persahabatan erat antara dua perdana menteri yang dicemburui banyak negara.”

Lee, mewakili semua rakyat Singapura mengucapkan terima kasih kepada Goh atas “perkhidmatan cemerlang kepada negara dan rakyat selama ini.”

“Quo Vadis, Chok Tong? Apa juga yang anda pilih untuk lakukan, saya mengucapkan selamat bersara dan semoga sentiasa gembira,” tulis Lee.

Related posts

Leave a Comment