Kembali kepada satu angka

PUTRAJAYA: Kes baharu Covid-19 di negara ini kembali kepada satu angka dengan tiga kes direkodkan sehingga jam 12 tengah hari Selasa, 23 Jun antara yang terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 8,590 kes.

Semua kes baharu melibatkan kes penularan di dalam negara, iaitu masing-masing dua warga asing dan seorang warganegara Malaysia. Tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dilaporkan.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan bahawa terdapat sembilan kes yang pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,186 bersamaan 95.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 283 kes.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan tiada kematian direkodkan, sekali gus jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Setakat ini, sebanyak tiga kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.

Mengenai kes penularan dalam negara adalah satu kes daripada Kluster Pedas Negeri Sembilan yang melibatkan warga asing dan dua kes daripada Kluster MDR yang melibatkan seorang warganegara Malaysia dan seorang warga asing.

Mereka merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8,506.

Related posts

Leave a Comment