Dua kes import, 6 tempatan

PUTRAJAYA : Lapan kes baharu direkodkan hari ini, 14 Jun menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 8,453 kes.

Daripada jumlah itu, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap, manakala enam kes lagi merupakan penularan di dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi penularan tempatan, empat kes adalah bukan warga tempatan dan dua kes adalah dalam kalangan warga Malaysia.

“Empat kes jangkitan (dalam negara) itu melibatkan bukan warganegara adalah daripada Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur, manakala kes warganegara membabitkan satu kes saringan klinikal kes Influenza Like Illness (ILI) di Bintulu, Sarawak, dan satu kes saringan pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah,” katanya dalam sedang media harian di sini.

Beliau juga memberitahu, buat pertama kali sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lepas, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini mencatat bawah angka 1,000, iaitu 986 kes, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, terdapat 35 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pulih sepenuhnya sebanyak 7,346 kes atau 86.9 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat satu lagi kes kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes maut sebanyak 121 kes.

“Kes kematian ke-121 (kes ke-7468) merupakan orang kena tahan (OKT) lelaki warga India di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, berumur 67 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang.

“Beliau didapati tidak sedarkan diri di DTI Bukit Jalil dan dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebelum disahkan meninggal dunia pada 12 Jun lepas, saringan ujian Covid-19 didapati positif dan keputusan penuh bedah siasat masih dalam proses,” katanya.

Sehingga kini sebanyak empat kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment