PUTRAJAYA : Sebanyak 38 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan 7,857 kes dan sifar kematian bagi tempoh 10 hari berturut-turut sejak 23 Mei lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya enam kes baharu melibatkan kalangan warganegara Malaysia sementara kes kematian kekal 115 kes.
Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,338 kes, yang telah diasingkan serta diberi rawatan.
Sejumlah 26 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala daripada 12 kes penularan tempatan, enam adalah kes bukan warganegara.
Sejumlah 51 kes telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes telah pulih dan discaj sebanyak 6,404 kes (81.5 peratus). Sebanyak lapan kes dirawat di ICU dan 2 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.