SAYA bukan lagi wartawan. Maka saya tidak pasti adakah hari ini ada sambutan Hari Wartawan Nasional. Cuma yang saya masih ingat pada 11 April 2018, berlangsung Wacana Hari Wartawan di MATRADE. Wacana dihadiri oleh penggiat media yang mewakili pelbagai media cetak dan elektronik. Hasil wacana itu, termeterai satu deklarasi, antaranya meraikan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
Pada sebelah petang, dalam Majlis Pelancaran Hari Wartawan Nasional, Perdana Menteri, Najib Tun Razak dalam ucapannya berkata : Kerajaan telah menerima cadangan proklamasi supaya Hari Wartawan Nasional disambut pada 29 Mei setiap tahun sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Satu penghargaan kepada Utusan Melayu yang diterbitkan pada Isnin 29 Mei 1939. Inilah akhbar harian yang pertama diterbitkan dengan modal tenaga bangsa Melayu. Semangat muafakat dan setiakawan menjadikan akhbar ini satu kenyataan dan diterbitkan di Singapura. Akhbar edisi jawi itu bagaimanapun tinggal kenangan. Bukan setakat surat khabar yang mati, syarikat juga gulung tikar.
Kembali kepada HAWANA, malangnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang diadakan pada 9 Mei 2018, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib kecundang. Maka pelbagai sambutan pada bulan Mei nampak suram. Untuk rekod pelbagai ‘HARI…’ ada pada bulan Mei termasuk Hari Kelahiran UMNO.
Kekalahan BN dan naiknya kerajaan yang menjadi harapan rakyat iaitu Pakatan Harapan (PH) menyebabkan suasana sibuk dengan pembentukan kerajaan dan sebagainya. Maka Hari Wartawan yang diluluskan oleh kerajaan BN seperti dilupuskan. Seingat saya tidak ada sambutan. Mungkin rakan-rakan lain tahu.
Saya tidak pasti pula pada tahun 2019, adakah masih berlangsung sambutan Hari Wartawan itu atau hari itu memang tidak diiktiraf oleh kerajaan PH. Maklumlah keputusan dibuat oleh kerajaan BN. Tidak semua keputusan BN wajib diikuti. Mungkin juga tarikh itu sukar diterima kerana ada kaitan dengan Utusan Melayu. Malam Media yang khabarnya akan diadakan pada ‘Hari Wartawan’ juga tidak berlangsung pada tarikh berkenaan..
Saya tidak pasti apa reaksi atau tindakan oleh menteri berkenaan ketika itu berhubung Hari Wartawan Nasional ini, khususnya Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo atau Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.
Sekali lagi mungkin saya terlepas pandang lebih-lebih lagi selepas tidak lagi bergelar wartawan. Jika mahu diraikan atau tidak, elok dijelaskan perkara ini. Biar nampak kedudukan atau status hari itu. Apa pun bagi wartawan, ada atau tidak sambutan itu, mereka tetap kerja seperti biasa.
Andai hari kelahiran Utusan Melayu hari ini 29 Mei masih diiktiraf sebagai Hari Wartawan Nasional, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional.