17 kes baharu 1 kematian

PUTRAJAYA : Satu lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan di negara ini pada Sabtu, menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 113 kes atau 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian terbaharu melibatkan kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan yang bertugas di Sabah.

Mangsa disahkan positif dan meninggal dunia pada 7 Mei 2020 pada pukul 1.30 petang.

Kes kematian ke-113 (kes ke-6856) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau mempunyai sejarah penyakit barah paru-paru peringkat akhir dan darah tinggi. Beliau merupakan kakitangan perubatan di KKM di Sabah, namun telah bercuti sakit sebab barah.

Beliau dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah pada 5 Mei 2020 disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot..

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 73 kes telah pulih, menjadikan jumlah sembuh sepenuhnya adalah 5,512 kes atau 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Selain itu, terdapat 17 kes baharu positif Covid-19 dikesan setakat 12 tengah hari Sabtu.dan daripada jumlah tersebut, enam merupakan kes import melibatkan jangkitan luar negara, manakala 11 kes adalah jangkitan tempatan melibatkan bukan warganegara.

Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,247 kes. Seramai 13 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment