Panduan solat berjemaah di masjid dan surau di WP

SEMUA masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih yang terletak di zon hijau di Wilayah Persekutuan boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pelaksanaaan itu, bagaimanapun, perlu diikuti dengan bilangan jemaah tidak kurang dari tiga orang tidak termasuk imam dan tidak lebih dari 30 orang.

Katanya, lain-lain solat secara berjemaah di masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat pada esok.

“Pihak masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan adanya kawalan daripada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri untuk mengawal keadaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

GARIS PANDUAN SOLAT DI MASJID & SURAU

  • Melaksanakan penjarakan sosial (social distancing) di dalam dan luar masjid.
  • Jarak antara ahli jemaah adalah sejauh 1 meter antara satu sama lain dan wajib memakai pelitup muka.
  • Cara masuk dan keluar masjid mesti mengikut giliran dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal.
  • Jemaah yang mengidap penyakit kronik, warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan berjemaah.
  • Semua ahli Jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing- masing.
  • Jemaah dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang.
  • Tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat sama ada di dalam atau di luar masjid.

    DALAM masa yang sama, pihak berkuasa agama negeri-negeri juga diminta untuk mengambil serius bebeberapa perkara berikut :

    • Mengadakan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran Jemaah.
    • Melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wudhu’ sebelum dan selepas solat.
    • Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa.
    • Ahli Jemaah wajib membawa kad pengenalan diri. Jika gagal, ahli jemaah harus diarah pulang.
    • Kehadiran direkodkan di dalam buku kehadiran
    • Pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan.

Related posts

Leave a Comment