Cukuplah tu berpolitik…

PUTRAJAYA: Lupakan dahulu soal politik. Jangan dilayan cerita politik ketika negara sedang berhadapan dengan musibah. Malang sekali dalam suasana ‘perang’ dengan musuh yang tidak kelihatan ini, ada pula pihak yang mahu mewujudkan perang dalam kalangan orang politik.

Cukuplah. Hentikanlah tabiat berpolitik sepanjang masa. Sebelum pilihan raya berpolitik, selepas pilihan raya pun berpolitik. Sampai bila nak berpolitik? Apabila terjebak dalam suasana yang wujud sekarang, masih nak berpolitik. Tunggulah dulu. Biar wabak ini pergi dahulu. Utamakan keselamatan dan nyawa rakyat.

Memang tepatlah langkah Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengambil pendekatan untuk tidak memberi tumpuan kepada soal politik, kerana beliau merasakan rakyat sudah cukup muak dengan pertelingkahan yang tidak berkesudahan.

Ya benar ada yang gusar, resah gelisah dengan pelantikannya sebagai ketua kerajaan dalam keadaan yang agak luar biasa, tetapi beliau percaya rakyat lebih gusar mengenai usaha kerajaan membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Golongan yang gusar ini sengaja tidak mahu faham apa yang berlaku dalam pembentukan kerajaan baharu ini. Masih tidak dapat menerima realiti. Maka wujudkah istilah kerajaan pintu belakang, ikut bumbung dan macam-macam lagi. Seperti orang yang sedang meroyan.

“Soal pokok sekarang ini rakyat tak nak dengar dah. Saya dah tahu (mereka) muak cerita-cerita tu. Yang mereka nak tahu apa kerajaan buat. Apa Perdana Menteri, atau Jemaah Menteri dan juga pentadbiran kerajaan yang ada hari ini laksanakan untuk menangani isu penting yang sedang mereka hadapi.

“Sebab itu saya tidak pun dalam mana-mana kenyataan sebelum ini, hatta sekarang ini, nak mengulas soal-soal yang berkaitan dengan hal politik. Nanti orang kata soal COVID tak selesai, dia cerita soal parti dia, dia cerita soal gabungan dia, kerajaan dia, keabsahan dia… yang ini rakyat tidak berminat,” katanya lagi.

Muhyiddin berkata demikian dalam satu wawancara eksklusif bersama Editor Astro AWANI Essan Yahya, dan penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Zaleha Khairene Ismail di Bangunan Putra Perdana, baru-baru ini.

Perdana Menteri menjelaskan, sebagai seorang ketua kerajaan yang bertanggungjawab, beliau akan menunggu hingga keadaan COVID-19 agak reda, dan akan memberi penjelasan yang sesuai kepada rakyat berhubung isu pertukaran kerajaan itu.

“Saya faham perkara itu. Sebab itu bagi saya, apabila sampai pada masa yang agak sesuai, dan kalau perlu dijelaskan, kita akan jelaskan.

“Bagi saya ini amanah, ini adalah tanggungjawab. Yang ini rakyat nak melihat, kita ini berfungsi atau tidak. Saya dah sebutkan sewaktu pembentukan Jemaah Menteri, this is a functional government, kerajaan yang berfungsi, yang melaksanakan tugas. Yang ini yang saya nak buktikan, yang saya fikir inilah yang rakyat mahu diutamakan,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment