Kes tinggi di Indonesia, Filipina

THAILAND merekodkan 15 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 2,854 kes. Tiada kematian dilaporkan hari ini menjadikan kes kekal 50.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata seramai 2,490 pesakit pulih dan didiscaj manakala 314 masih dirawat.

Beliau berkata 10 daripada 77 wilayah tidak merekodkan kes baharu bagi tempoh 28 hari.

“Jangkitan daripada kluster yang aktif masih berlaku di wilayah Chonburi, Phuket, Pattani, Yala dan Chumpon dan setiap kluster melibatkan antara lima dan 51 individu yang dijangkiti,” katanya dalam taklimat harian hari ini.

Beliau berkata empat daripada 15 kes baharu yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam itu adalah dari Yala, Selatan Thailand iaitu lokasi pihak berkuasa aktif menjalankan ujian Covid-19.

Thaweesilp berkata sejak kerajaan melaksanakan perintah berkurung dari 10 malam hingga 4 pagi pada 4 April lepas, seramai 12,830 yang ingkar perintah itu termasuk 10,858 yang meninggalkan kediaman dan 1,972 berkumpul dalam kumpulan besar.

Sementara itu, INDONESIA  mencatatkan 42 lagi kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah itu meningkat kepada 689 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto berkata, jumlah kes positif meningkat kepada 8,211 kes, iaitu tambahan 436 kes baharu.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 42 lagi pesakit sembuh, menjadikan jumlah yang sembuh sehingga kini berjumlah 1,002 orang. Sebanyak 18,301 pesakit masih berada dalam pengawasan.

Sementara itu FILIPINA sehingga pukul 4 petang merekodkan 211 kes baharu menjadikan jumlah kes keseluruhan 7,192.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan, 15 kematian juga dilaporkan menjadikan 477 kes manakala kes sembuh 762 apabila 40 lagi pulih.

Kementerian Kesihatan BRUNEI DARUSSALAM pula mengumumkam kes di negara itu kekal 138 tanpa merekodkan sebarang kes baharu hari ini.

Sebanyak 120 kes pula pulih.

Related posts

Leave a Comment