Singapura lanjut 4 minggu lagi

SINGAPURA : Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengumumkan langkah melanjutkan tempoh pemutus litar bagi mengekang wabak Covid-19 untuk tempoh empat minggu lagi, iaitu sehingga 1 Jun ini.

Dalam ucapan secara langsung di televisyen dan radio pukul 5 petang ini, beliau berkata langkah itu bertujuan mengurangkan jumlah kes tidak berkaitan yang “mereka tidak tahu bagaimana mereka dijangkiti, atau dari siapa”.

“Jumlahnya tidak berkurangan dan ini menunjukkan terdapat lebih banyak, tempat simpanan tersembunyi dalam masyarakat, yang merupakan sumber kes-kes yang tidak berkaitan ini, yang kami tidak dapat kesan,” katanya.

Singapura melaksanakan langkah pemutus litar pada 7 April dan dijadualkan berakhir pada 4 Mei.

Lee juga mengakui bahawa dalam komuniti yang lebih luas, langkah pemutus litar mula memberi kesan kerana jumlah kes komuniti telah menurun dalam beberapa hari yang lepas. 

Katanya, setelah  jumlah penularan tempatan berkurangan, pemerintah akan membuat penyesuaian dan menimbangkan untuk melonggarkan beberapa langkah ini.

“Dengan cara ini, kita boleh berasa lebih yakin bahawa kita telah mencapai kemajuan dan berada dalam keadaan yang kukuh. Ramai yang akan kecewa dengan tempoh pemutus rantaian jangkitan yang dilanjutkan. Terutamanya perniagaan dan pekerja yang telah terjejas teruk.

“Tetapi saya harap anda faham bahawa keperitan jangka pendek ini penting untuk menghapuskan virus ini demi melindungi kesihatan orang-orang yang kita sayangi,” katanya.

Dalam tempoh itu, beliau berharap rakyat Singapura mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti keluar untuk urusan-urusan penting, seperti membeli makanan atau barangan dapur.

“Jika tidak, tolong duduk di rumah. Jika perlu keluar, lakukannya sendirian, bukan secara berkumpulan atau bersama keluarga. Walaupun bersenam di luar: anda harus melakukannya secara sendirian dan hanya di kawasan kejiranan anda. 

“Niat di sebalik garis panduan ini adalah untuk mengurangkan pergerakan, dan mengelakkan orang ramai keluar rumah dan berkumpul di dalam masyarakat. Inilah cara untuk melindungi diri anda, keluarga anda dan orang lain,” katanya.

Beliau berkata, pemerintah akan melakukan sedaya upaya untuk membantu perniagaan dan para pekerja menghadapi tempoh pemutus rantaian jangkitan yang dilanjutkan ini. 

“Kami akan memberi sokongan kepada para pekerja dan perniagaan-perniagaan sama seperti apa yang kami lakukan sekarang.” Katanya.

Related posts

Leave a Comment