Situasi negara anggota ASEAN

KES positif Covid-19 di Indonesia melepasi angka 6,000 apabila 325 kes baharu dilaporkan sementara kematian meningkat kepada 535 kes berikutan pertambahan 15 kematian baharu dalam tempoh. 24 jam sejak 12 tengah hari semalam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto berkata,  kes positif yang dikesan di semua 34 wilayah di Indonesia kini meningkat kepada 6,248 kes.

“Bagi tempoh 24 jam juga, sejak 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 15 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 535 kes,” katanya.

Provinsi Jakarta terus mencatatkan peningkatan kematian membimbangkan dengan tujuh lagi kematian dalam tempoh 24 jam.

Jumlah kematian di Jakarta kini berjumlah 253 kes, diikuti Jawa Barat (56 kes), Jawa Timur (49), Jawa Tengah (41) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

SINGAPURA pula mencatat lonjakan tinggi jangkitan pada Sabtu apabila 942 kes positif baharu dikesan di negara itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Singapura, majoriti kes jangkitan tersebut melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Ia merupakan lonjakan tertinggi kes jangkitan Covid-19 di negara itu dalam masa 24 jam dengan jumlah kumulatif sebanyak 5,992.

LAOS pula kekal 19 kes selepas 27 lagi hasil ujian saringan didapati negatif, lapor agensi berita Xinhua.

Timbalan Menteri Kesihatan Phouthone Meaungpak dalam satu sidang media di Vientiane memberitahu, sehingga Sabtu, Laos telah menjalankan 1,318 saringan dan 19 daripadanya positif manakala dua pesakit pulih.

Sebanyak 14 kes masih dirawat di Hospital Mittaphab dan tiga lagi di sebuah hospital di Luang Prabang.  Laos sebelum ini mengumumkan dua kes pertama Covid-19 pada 24 Mac lalu.

Sementara itu, tiada kes baharu dilaporkan di KEMBOJA selama enam hari berturut-turut, manakala lima lagi pesakit sembuh, demikian kenyataan Kementerian Kesihatan.

Antara pesakit yang baru sembuh itu ialah pasangan warga Amerika, masing-masing seorang lelaki rakyat Britain, Kanada serta penduduk tempatan. Kesemua mereka discaj pada Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua.

Peratusan pesakit Covid-19 pulih ialah 84.43 peratus. Seramai 103 daripada 122 pesakit telah sembuh, selebihnya masih dirawat di hospital.

KEMENTERIAN Kesihatan BRUNEI mencatatkan satu kes baharu hari ini menjadikan 137 kes. Mangsa, wanita berusia 31 tahun itu adalah isteri kepada kes 109 yang tidak mempunyai sejarah perjalanan serta tiada tanda-tanda jangkitan.

Ketika ini 23 kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, dua daripadanya kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan. Satu kes aktif pula sembuh menjadikan 113 .

Kementerian juga memaklumkan lima lagi kes sembuh dimasukkan semula ke Pusat  Pengasingan Kebangsaan setelah didapati positif selepas pemeriksaan susulan. Ini menjadikan 16 kes di mana empat telah dibenarkan pulang. Ketika ini juga 85 orang menjalani kuarantin manakala 2.407 telah menamatkan tempoh kuarantin.

Jabatan Kesihatan FILIPINA pula melaporkan, jumlah kes di negara itu kini meningkat kepada 6,087 kes apabila 209 kes baharu dilaporkan sehingga 4 petang ini. Sepuluh kematian dilaporkan menjadikan jumlah kes 397 sementara 29 kes pulih menjadikan 516.

THAILAND pula melaporkan 33 kes baharu dengan tiada kematian dicatatkan, menjadikan kes yang dikesan kini berjumlah 2,733 kes, dan jumlah kematian kekal 47.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata, 1,787 pesakit atau 65.4 peratus, telah sembuh dan dibenarkan keluar dari wad hospital sehingga kini.

Daripada 47 kematian yang dilapokan, 41 adalah warga Thailand, manakala enam lagi adalah warga asing.

Sehingga kini wilayah Bangkok mencatatkan jumlah teringgi kes jangkitan dengan 1,401 kes, diikuti dengan Phuket (192), Nonthaburi (150), Samut Prakan (108), Yala (99) dan Pattani (87).

Tiada laporan mengenai kes baharu sejak 14 hari lepas dilaporkan di 29 wilayah di Thailand, manakala sembilan wilayah kekal bebas daripada pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment