Kita jaga kita, bersama jalani kehidupan ‘kebiasaan baharu’

TERUS duduk di rumah sehingga 28 April. Seperti dijangka, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selepas fasa kedua berakhir 14 April ini.

Fasa ketiga akan bermula 15 April dan berakhir pada 28 April. Maknanya minggu pertama Ramadan sudah pasti kita akan berpuasa dalam suasana PKP.

Malahan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan itu mengingatkan rakyat supaya bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama, mungkin berlarutan beberapa bulan sebelum wabak ini diatasi seratus peratus.

“Itupun kehidupan kita mungkin tidak boleh kembali seperti sediakala. Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan,” katanya.

Ramadan ini, kita sambut puasa dalam suasana lain dari yang lain. Tidak ada bazar Ramadan, tidak ada berbuka puasa di masjid, surau, hotel dan di mana sahaja kecuali di rumah. Tidak ada solat tarawih berjemaah juga kecuali di rumah. Tidak ada bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk bertarawih. Jadi tarawihlah di rumah bersama keluarga. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung seperti biasa.

“Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi,” katanya.

Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang disifatkannya sebagai manusia yang hebat.

INTIPATI UCAPAN PM 10 APRIL 2020

DOKTOR dan jururawat di barisan hadapan, anda mengambil risiko setiap kali melangkah masuk ke wad. Tetapi anda terus melangkah dengan gagah untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Walaupun letih, anda tidak mengeluh tetapi terus berkhidmat dengan cekal. Terima kasih yang tak terhingga. Terima kasih juga kepada doktor dan jururawat di hospital swasta. Ketika hospital kerajaan sibuk merawat pesakit CoviD-19, hospital swasta menerima pesakit bukan Covid- 19 untuk dirawat.

TERIMA kasih kepada anggota polis dan tentera yang menjaga sekatan jalan raya. Anda berpanas, berhujan, tetapi terus menjalankan tugas. Syabas saya ucapkan.

Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, Rela, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu.

TERIMA kasih kepada insan-insan yang bermurah hati membungkus makanan untuk para petugas di barisan hadapan. Begitu juga kepada yang bekerja menghantar makanan. Sama ada grab food, food panda atau lain-lain. Orang lain duduk di rumah, anda keluar rumah untuk pastikan orang lain boleh makan. Anda melakukan pekerjaan yang mulia. Pesan saya, jaga kesihatan, jaga keselamatan, jangan bawa motor laju-laju.

KITA ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling bantu membantu ketika zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita. Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita. Inilah nilai sebenar persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

PKP telah dapat membantu para petugas kesihatan mengawal penularan Covid-19 ke satu tahap yang agak stabil. Menurut unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia, PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan yang lalu telah sedikit sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan Covid-19.

PENULARAN wabak ini masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan. Malahan, usaha-usaha mencegah wabak ini mesti diperhebatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan. Ini termasuk memberi tumpuan khusus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang dikenalpasti menjadi punca penularan wabak ini.

BERDASARKAN nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan pakar-pakar perubatan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan PKP untuk tempoh dua minggu lagi, iaitu dari 15 April hingga 28 April 2020. Pelanjutan ini untuk memberi ruang kepada petugas- petugas kesihatan memerangi penularan Covid-19, selain mengelakkan penularan semula wabak ini dalam masyarakat.

TINDAKAN ini adalah selaras dengan pandangan WHO yang menyarankan negara- negara supaya tidak menamatkan perintah kawalan pergerakan terlalu awal. Sepertimana yang berlaku di beberapa buah negara, penularan wabak ini meningkat semula apabila PKP ditamatkan.

KITA mungkin tangguhkan dahulu sesi persekolah sehinggakan kita benar-benar yakin keadaan kembali pulih. Anak-anak perlu belajar di rumah. Saya telah minta Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau home based learning sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh yang seterusnya sehinggalah sekolah dibuka.

SAYA telah arahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen, RELA dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara

bagi mengelakkan pendatang asing bolos menerusi lorong-lorong tikus. Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk.

KEHIDUPAN  untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang tidak akan kembali seperti biasa. Kita akan menjalani kehidupan “the new normal” atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara biasa. Kalau tak dibuat dianggap janggal, atau tak beradab. Tetapi sekarang kita tak boleh berjabat tangan untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat.

EKONOMI negara kita terjejas kerana sekatan-sekatan yang dibuat terhadap aktiviti perusahaan, perkilangan dan perniagaan sepanjang tempoh PKP. Kerajaan setuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garispanduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat. Sebuah jawatankuasa khas Kabinet diwujudkan untuk meneliti senarai sektor ekonomi yang terpilih untuk dibuka secara berperingkat.

SAYA bertanggungjawab menjaga keselamatan nyawa saudara-saudari. Setiap nyawa adalah berharga. Baik bayi, orang muda, orang dewasa atau warga emas, semuanya bernilai. Kehilangan satu nyawa kerana virus ini bukan bererti kehilangan kepada suami, isteri, anak-anak atau keluarga terdekat sahaja, tetapi kehilangan besar buat negara. Kerana itu, marilah kita bersama-sama menjaga kesihatan diri kita, keluarga kita dan orang-orang di sekeliling kita dengan mematuhi PKP.

Related posts

Leave a Comment