PM Britain stabil

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dilaporkan stabil di unit rawatan rapi (ICU) dan menerima rawatan oksigen tanpa bantuan lain, kata jurucakap Downing Street.

Johnson, 55 yang tidak menghidap radang paru-paru tidak memerlukan pengudaraan mekanikal atau sokongan pernafasan yang tidak invasif.

Beliau mengumumkan positif jangkitan koronavirus pada 27 Mac dan berada dalam tempoh pengasingan diri.

Selepas demam lebih seminggu, beliau kemudian dimasukkan ke hospital Guy dan St Thomas di London pada Ahad dan dipindahkan ke penjagaan intensif pada petang Isnin susulan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Sepanjang petang (Isnin), keadaan Johnson semakin buruk dan atas nasihat pasukan perubatan, dia telah dipindahkan ke ICU.

Sementara itu,  Setiausaha Luar Negeri, Dominic Raab yang dilantik menggantikan Perdana Menteri itu berkata,  Johnson bernafas tanpa bantuan selain tidak memerlukan sokongan pernafasan.

“Dia tetap bersemangat, selaras dengan amalan klinikal biasa, perkembangan kesihatannya terus dipantau dengan teliti. Saya yakin dia akan berjaya. Jika ada satu perkara yang saya tahu tentang perdana menteri, dia adalah seorang pejuang,” kata Raab.

Di Britain, seramai 6,159 orang telah meninggal dunia akibat Covid-19 dan lebih daripada 55,000 orang telah disahkan positif.

Related posts

Leave a Comment