Operasi 8 pagi – 8 malam

PUTRAJAYA 30 Mac – Semua premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian termasuk pasar raya serta stesen minyak hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam dalam fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan)  Ismail Sabri Yaakob berkata gerai dan restoran serta perkhidmatan penghantaran makanan juga perlu beroperasi pada waktu yang sama dalam tempoh fasa kedua itu.

“Pihak kerajaan menggalakkan supaya orang ramai menggunakan pembelian secara dalam talian dan kita nasihatkan supaya mengelak daripada bersemuka dengan pihak yang menghantar barangan itu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, menegaskan walaupun sekatan dipertingkat, ia berbeza dengan keadaan di Simpang Renggam, Johor dan Hulu Langat, Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang mana penduduk tidak dibenarkan keluar dan orang luar langsung tidak dibenarkan masuk di kawasan berkenaan.

Malah, beliau berkata situasi sekatan itu juga jauh berbeza dengan perintah berkurung seperti yang diuar-uarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Pada tahap kedua ini kita percaya ia tentu berbeza, ingin saya tegaskan sekatan di fasa kedua masih benarkan pergerakan, kedai-kedai masih dibuka seperti biasa cuma mungkin daripada kawalan masa,” katanya.

Selain waktu operasi premis perniagaan, Ismail Sabri berkata dalam fasa kedua berkenaan, waktu operasi kenderaan juga akan dikawal.

Related posts

Leave a Comment