Melindungi barisan hadapan


KERAJAAN mengambil langkah yang tepat dengan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani Covid-19. Amat penting sektor perkhidmatan kesihatan ini mempunyai kekuatan tenaga dan peralatan untuk berhadapan kes yang semakin meningkat.

Tanpa tenaga manusia dan peralatan yang lengkap akan menjejaskan operasi menyelamat dan mencegah. Diharapkan peruntukan itu dapat digunakan segera untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

Begitu juga keperluan barisan hadapan terutama doktor dan jururawat untuk melindungi diri mereka sendiri daripada dijangkiti. Mereka perlu dibekalkan peralatan yang boleh memudahkan kerja serta melindungi diri mereka,

Peruntukan sebanyak RM100 juta bagi melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak juga amat dialu-alukan. Adalah amat penting untuk mengukuhkan benteng pertahanan barisan hadapan termasuk doktor dan jururawat. Benteng ini tidak boleh dibiarkan ‘goyang, retak atau bocor’ kerana gelombang wabak ini nampak semakin ganas.

Semakin banyak negara mengisytiharkan perintah berkurung atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak ini. Setakat ini kematian di seluruh dunia melebihi 16,000 orang sementara kes dijangkiti lebih 376,000 orang. Di negara kita pertambahan kes dan kematian juga meningkat.

Kita sedar dan faham beban yang ditanggung oleh doktor dan jururawat yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan kes berkaitan Covid-19 ini. Lebih mendukacitakan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seramai 19 kakitangannya dan lima petugas fasiliti kesihatan swasta dijangkiti Covid-19.

Sehingga 22 Mac lalu seramai 460 anggota KKM yang sudah menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 didapati negatif dan baki 190 lagi masih menunggu keputusan. Jelaslah mereka juga terdedah kepada jangkitan wabak ini.

Sedarlah bahawa ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes Covid-19 dan merawat mereka yang disahkan positif. Cara atau kaedah mengendalikan kes ini juga amat berbeza berbanding kes atau penyakit lain.

Mungkin ramai yang telah mendengar rakaman suara rintihan jururawat serta surat doktor dari barisan hadapan yang ditujukan kepada seluruh masyarakat. Sama ada ia datang daripada mereka yang terlibat atau tidak tetapi saya percaya begitulah suasana atau perasaan dan tekanan yang sedang dihadapi oleh barisan hadapan ini.

Antara isi kandungan surat itu “ Ada doktor yang sudah teramat lemah, badannya sudah hampir tenat, setelah masuk bilik istirehat dan minum seteguk air, kena kembali masuk ke kawasan kuarantin untuk terus bekerja,” Itu belum mengambil kira pakaian atau peralatan yang mereka guna.

Betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Kita harus menghargai mereka bukan hanya semasa susah tetapi waktu senang. Mujurlah elaun mereka masih ada dan mungkin selepas ini, boleh dipertimbangkan imbuhan kepada mereka yang terlibat.

Maka sama seperti harapan Perdana Menteri, pengambilan kakitangan baharu ini diharap dapat disegerakan. Sekurang-kurangnya kakitangan berpengalaman di wad lain yang belum terlibat dengan ‘wad’ berkaitan Covid-19 ini boleh juga membantu sementara kakitangan kontrak menyokong dari belakang untuk wad lain.

Rasanya tidak sukar untuk mendapatkan jumlah jururawat kontrak ini kerana ramai yang sudah terlatih berada di luar sana sama ada mereka ini bersara awal atau belum ditempatkan di mana-mana hospital.

Apa yang penting matlamat akhirnya adalah untuk mempersiapkan kakitangan yang mencukupi bukan sekadar memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan negara ketika keadaan sukar begini.

Harus diingat, keperluan jururawat dan doktor bukan sekadar untuk Covid-19 tetapi juga untuk penyakit-penyakit lain yang dihadapi oleh rakyat. Banyak lagi pesakit yang datang ke hospital atau klinik dengan pelbagai penyakit, kemalangan jalan raya dan sebagainya yang memerlukan perhatian doktor dan jururawat.

Golongan pesakit lain tidak boleh diabaikan. Tumpuan yang sama yang menjadi tanggungjawab barisan hadapan ini harus diberi tetapi apabila berlaku sesuatu wabak, perhatian mungkin terjejas. Difahamkan nisbah yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk jururawat adalah 1:200 orang pesakit/rakyat bagi setaip negara. Apakah nisbah kita?

Apa yang berlaku hari ini sekurang-kurangnya membuka mata pihak yang memandang sepi profesion barisan hadapan ini termasuk kejururawatan ini. Tugas mereka banyak menjaga perawatan, memantau keadaan, mengurus keperluan ubatan, memberi sokongan moral kepada pesakit dan pelbagai tugasan lain.

Semoga barisan hadapan kita terus kukuh.

Related posts

Leave a Comment