JANGAN balik kampung, kekal di kawasan masing-masing. Perintah Kawalan Pergerakan bukan peluang untuk bercuti panjang bersama keluarga walaupun di dalam negara. Jika rakyat masih bergerak bebas ke sana sini, dibimbangi langkah pencegahan yang sedang diambil menjadi sia-sia.
Ahli Pasukan Petugas Covid-19 Selangor, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman menyarankan supaya rakyat ‘kekal’ di mana mereka berada.
“Apa yang penting di sini adalah jangan pulang ke kampung atau mereka dari kampung pun jangan datang ke bandar. Kekal di mana anda berada. Kurangkan perjalanan,” kata beliau dalam program Consider This di Astro AWANI 501 malam tadi.
Dr Adeeba memberi respon kepada kemungkinan ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang mempertimbangkan untuk pulang ke kampung kerana kerisauan akibat penularan Covid-19.
Justeru, rakyat Malaysia bersedialah untuk memberi kerjasama bagi mencegah penularan baharu dan memulihkan keadaan dengan segera. Penyakit ini belum ada penawarnya. Kitalah yang menjadimvaksin itu. Dan kepada mereka yang mempunyai tanda-tanda dijangkiti, jumpalah doktor supaya tidak merebak.
Kerjasama semua amat penting supaya usaha kerajaan tidak sia-sia dan merugikan. Banyak kepentingan yang terpaksa dikorbankan dalam menghadapi situasi sekarang.
Seperti kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai.
“Inilah satu-satunya cara untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa,” katanya malam tadi.