Covid-19 : Larangan masuk Singapura

SINGAPURA meningkatkan langkah pencegahan Covid-19 dengan melarang kemasukan pengunjung yang telah melawat Korea Selatan, utara Itali dan Iran dalam tempoh 14 hari lalu.

Kumpulan ini tidak akan dibenar masuk ke Singapura, ataupun secara transit, bermula 11.59 malam ini.

Berita Harian Singapura melaporkan, keputusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan semalam adalah antara langkah republik itu mempergiat usaha mengekang penularan wabak itu.

Singapura ketika ini mencatatkan 110 kes positif Covid-19.

Sementara itu, penularan wabak itu terus meningkat dengan jumlah kes kini melebihi 93,000 sementara kematian pula melebihi 3,200 orang yang melibatkan 80 buah negara di dunia.

Korea Selatan, Itali dan Iran antara negara yang mencatatkan kes tertinggi di luar China yang menjadi tempat bermulanya penyebaran wabak itu.

Di Iran, bagi mengekang wabak itu, pelbagai langkah diambil termasuk menutup sekolah dan universiti, menggantung aktiviti sukan dan kebudayaan serta memendekkan waktu bekerja.

Setakat ini, 77 kematian dilaporkan di Iran dengan jumlah kes melebihi 2,335.

Di Itali, jumlah kematian menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh 24 jam, sekali gus menjadikan jumlah terkini mencecah 79 orang. Kebanyakan mangsa yang meninggal dunia berusia antara 55 tahun dan 101 tahun.

Setakat Selasa, jumlah kes di negara itu meningkat hampir 500 kepada 2,502 dengan kebanyakan kes dan kematian berlaku di wilayah utara Lombardy.

Korea Selatan pula melaporkan 516 kes baharu menjadikan jumlah 5,328 kes dengan kematian setakat ini 32 orang. Sebanyak 405 kes di Daegu dan 89 berhampiran Utara Gyeongsang.

Di Stockholm, jumlah kes di Sweden meningkat dua kali ganda menjadikan keseluruhan sebanyak 30 kes berbanding hari sebelumnya. Seramai 15 orang disahkan dijangkiti, kes pertama dalam kalangan mereka “yang sihat dan tidak menunjukkan gejala.”

Related posts

Leave a Comment