BEBERAPA buah negara terus mencatatkan kes pertama Covid-19 ketika jumlah kematian di China meningkat kepada lebih 2,700 manakala kes yang dicatatkan lebih 80,400.
Negara yang mencatatkan kes pertama termasuklah Algeria, Switzerland dan Austria.
Di Austria, dua kes pertama membabitkan penularan virus Covid-19 melibatkan pasangan dari Itali yang berpindah ke negara itu.
Pihak berkuasa negeri Tyrol di Austria Barat berkata pasangan dari Bergamo di Lombardy berpindah Jumaat lalu dan mulai sakit pada Sabtu sebelum mengalami gejala demam dan mendapat rawatan awal.
Keadaan mereka dilaporkan stabil dan hanya mengalami gejala ringan.
Untuk rekod, di Itali, sebanyak 322 kes dicatatkan dengan 11 kematian.
Di samping itu, kes baharu juga dilaporkan termasuk di Hong Kong yang mencatatkan empat kes termasuk melibatkan pekerja KFC. Jumlah kes di Hong Kong kini berjumlah 85.
Di Bangkok semalam, Thailad mengesahkan dua lagi kes baharu melibatkan seorang wanita berusia 31 tahun yang mempunyai kontak rapat dengan ahli keluarga yang pulang dari Guangzhou, China dan seorang lelaki berusia 29 tahun, bekerja sebagai pemandu pelancong warga China.
Sementara itu, pesawat khas misi kedua yang membawa pulang rakyat Malaysia dan keluarga mereka dari Wuhan, China selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pukuk 6.50 pagi ini.
Pesawat AirAsia AK8265 yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe, Wuhan pada jam 1.45 pagi membawa 66 penumpang yang bermastautin di Wuhan dan kawasan sekitar.
(GRAFIK SETAKAT 8 PAGI 26.02.2020)