GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 sebagai nama rasmi baharu bagi coronavirus yang pertama kali dikenal pasti di China pada 31 Disember lalu.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata Covid-19 adalah singkatan Co untuk Corona, Vi untuk virus dan D untuk disease (penyakit). Angka “19” adalah tahun wabak ini dilaporkan buat pertama kalinya pada 31 Disember 2019.
Covid-19 kini meragut lebih 1.000 jiwa di China.
WHO sebelum ini mengumumkan untuk meneliti penamaan virus baharu itu bagi mengelakkan stigma buruk terhadap bandaraya Wuhan yang menjadi tempat bermulanya wabak coronavirus.
Agensi rasmi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sebelum ini mengisytiharkan darurat kesihatan global menamakan ia “penyakit pernafasan akut 2019-nCoV”.
Nama itu dipilih pada tarikh kali pertama ia dikenal pasti pada 31 Disember lalu, dan “nCoV” bermaksud “novel coronavirus” – keluarga virus yang dimiliki olehnya.
WHO berharap, dengan adanya nama baharu, tiada lagi lokasi dikaitkan dengan wabak berkenaan di mana banyak laporan media yang menggunakan Wuhan atau China.