KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak dalam Pakatan Harapan (PH) supaya tidak membicarakan soal peralihan kuasa secara terbuka dan menghormati konsensus yang disepakati pada Januari 2018.
Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden PKR itu berkata, beliau kekal dengan pendiriannya sebelum ini dengan menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mengemudi dan memperkukuhkan ekonomi negara.
“PH dan Tun Dr Mahathir berulang kali menegaskan komitmen untuk menjayakan proses peralihan seperti yang dipersetujui.
“Maka sewajarnya kita turut menghormati keputusan terbabit supaya ianya berlaku secara aman dan teratur,” katanya.
Sebelum ini, pelbagai pihak menggesa Majlis Presiden PH menyegerakan proses peralihan kuasa perdana menteri bagi menjamin keyakinan rakyat dan kestabilan ekonomi negara ini.
Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan, Mundzir Zahir berkata, penetapan tarikh bagi peralihan kuasa tersebut perlu dibuat bagi memastikan proses berkenaan berlangsung secara aman.
Langkah ini juga katanya, dapat memberi persediaan awal kepada Anwar untuk melaksanakan agenda PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Dr Mahathir sebelum ini menyatakan beliau akan melepaskan jawatan itu selepas berlangsungnya Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebelum ini pernah mendesak agar Sekretariat PH menetapkan tarikh khusus berhubung proses peralihan kuasa itu.
Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional juga pernah menggesa Majlis Presiden PH menetapkan satu tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Dr Mahathir kepada Anwar dengan segera.
Sementara itu, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga sepakat menggesa Dr. Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021, genap tiga tahun PH menjadi Kerajaan Pusat.
Tiga NGO tersebut ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
Mereka menerusi surat terbuka bersama kepada Dr. Mahathir menggesa Perdana Menteri dan kepemimpinan PH mengambil langkah jelas untuk membawa kestabilan politik negara dengan meletakkan pakej peralihan berdasarkan perjanjian sebelum PRU-14.