Berdepan catuan air

19.01.2020 :

Rakyat Kedah mungkin berdepan catuan air jika masalah bekalan akibat cuaca panas berterusan, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr A Xavier Jayakumar.

Sehubungan itu, beliau menyarankan, kerajaan negeri menggunakan telaga tiub yang dibina di beberapa kawasan di Kedah sebagai langkah awal bagi mengatasi kekurangan air.

Katanya, langkah segera perlu dilakukan seperti mengingatkan orang ramai berjimat dan mengelakkan pembaziran.

“Langkah penjimatan perlu sebelum kerajaan melakukan kaedah pembenihan awan,” katanya selepas lawatan ke loji rawatan kumbahan di Pantai Tengah, Langkawi. hari ini.

Sebelum itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam  memaklumkan, paras air di tiga Empangan utama di Kedah direkodkan menurun dengan kapasiti Empangan Muda hanya berada pada kadar 14.42 peratus.

Kapasiti air Empangan Ahning pula direkodkan sebanyak 61.57 peratus dan Empangan Pedu sebanyak 45.59 peratus.

Bagaimanapun kenyataan itu menyebut kadar air masih mampu dilepaskan untuk kegunaan pertanian dan domestik.

Sementara itu, MADA dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia melaksanakan operasi pembenihan awan di Kawasan Muda pada jam 12.30 tengah hari ini.

Pengurus Besarnya, Datuk Fouzi Ali berkata, operasi terbabit dijangka dapat diteruskan sehingga Selasa ini namun bergantung kepada kesediaan awan dan kelembapan yang sesuai.

“Operasi ini menyasarkan kawasan tadahan empangan serta dataran Kawasan Muda. Jika berjaya, turunan hujan dijangka dapat meningkatkan paras takungan empangan dan membantu pengairan di kawasan sawah padi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Related posts

Leave a Comment