Berakhirkah riwayat Melayu sejati?

DALAM ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung UMNO 2016, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengingatkan cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) serta kesannya terhadap orang Melayu sekiranya kuasa berpindah kepada DAP. Di bawah tajuk Keindukan Kerajaan Pimpinan UMNO VS Keindukan Kerajaan Pimpinan DAP (UMNO LED VS DAP LEDGOVERNMENT), Najib antara lain mengingatkan :

“Seperkara lagi, yang tidak perlu saya selindung-selindung lagi, untuk kita sama-sama berwaspada adalah pilihan sama ada untuk mengekalkan Keindukan Kerajaan Pimpinan UMNO atau Keindukan Kerajaan Pimpinan DAP. Ertinya, orang-orang Melayu dan Bumiputera serta rakyat Malaysia keseluruhannya kini, sedang berdepan dengan satu persimpangan paling genting dalam tawarikh politik negara, di mana, pada Pilihanraya Umum Ke-14 nanti, para pengundi akan menentukan dengan pemikiran dan tangan-tangan mereka, di peti-peti undi akan siapakah yang sebaiknya menerajui pemerintahan negara ini.

“Pokoknya, persoalan pilihan keindukan kepimpinan ini bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan enteng-entengan, kerana saya khuatir, barangkali ada antara umat Melayu dan Bumiputera yang masih leka tentang hal ini. Pada ketetapan takdir ini kelaklah, sekiranya negara ini jatuh ke tangan DAP yang memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular berbahaya, pastinya, hak dan keistimewaan yang diperjuang serta dipertahankan oleh UMNO selama ini, termasuk Institusi-institusi Bumiputera antaranya MARA, FELDA, RISDA, FELCRA dan TERAJU akan pupus dan lenyap.

“Begitulah juga institusi Pengajian Tinggi kebanggaan orang Melayu dan Bumiputera selama 60 tahun, yakni UiTM, tidak akan lagi mampu mengekalkan falsafah penubuhannya. Oleh yang demikian itu, kalaulah, orang-orang Melayu dan Bumiputera boleh menyelami apa yang tersurat serta isi maksud yang tersirat daripada ucapan saya kali ini, akan natijah buruk dan mimpi ngeri yang bakal tiba serta melanda hidup serta nasib mereka, saya yakin, nescaya orang-orang Melayu juga Bumiputera berasa takut dan bimbang, lalu akan berpaut seteguh-teguhnya kepada UMNO, sebagai satu-satunya parti yang mampu membela nasib anak cucu keturunan dan memperjuangkan masa depan mereka.

“Satu perkara lagi saudara dan saudari, pastinya tidakkah kita sebagai umat Islam akan berasa risau, sakit hati dan marah, laksana diracun dan didamak, apabila syiar Islam dan pengamalannya akan tentu diremeh-remehkan, sekiranya DAP yang memerintah.Bahkan, lebih dahsyat dari itu, jika dikaji Perlembagaan parti DAP, tiada langsung menyebut Islam sebagai agama Persekutuan, tidak dinyatakan untuk menjunjung institusi Raja-Raja Melayu dan tidak tertulis satu ayat pun, tentang usaha untuk melindungi hak dan keistimewaan Orang-Orang Melayu serta Bumiputera.

“Waima, institusi-institusi berkaitan Melayu Islam seperti Lembaga Tabung Haji, JAKIM, JAWHAR, LEMBAGA ZAKAT NEGERI-NEGERI akan diperlekeh dan dicabar kewujudannya.

“Jikalau UMNO terkubur oleh kelekaan kita, pastinya ia menjadi satu ‘dosa’ yang tidak akan diampunkan oleh anak-anak cucu kita kelak. Apalah akan menimpa bangsa kita nanti? Bila semua sudah punah berkecai, apabila UMNO sudah tidak ada lagi, umpama kupang tembaga yang tidak berguna. Pabila orang-orang Melayu sudah tidak ada tempat bergantung harap, akan tersungkur dan tertiaraplah, menjadi hina, merempat, mengemis, bahkan terbangsat di tanah sendiri. Pada masa itu, zahir UMNO akan tercarik dan luka, batin parti Keramat ini juga, pastinya menjerit-jerit dan luluh binasa.

“Alangkah berhiba-hiba di hati, tamatlah riwayat Melayu sejati. Nobat nafiri pun tiada bergema dan tidak akan berbunyi lagi,”.

Related posts

Leave a Comment