Amaran Hujan Lebat

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca bahaya dengan hujan sangat lebat di beberapa kawasan di negeri Kelantan dan Terengganu dijangka berterusan sehingga esok 2 Disember.

Antara kawasan yang dijangka terjejas termasuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan, serta Besut dan Setiu di Terengganu.

Jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini turut mengeluarkan amaran cuaca buruk iaitu hujan lebat dijangka berterusan sehingga esok di Jeli dan Kuala Krai, Kelantan; Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman di Terengganu serta Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

Amaran waspada turut dikeluarkan dengan hujan lebat dijangka berlaku sehingga esok di Gua Musang, Kelantan; Jerantut, Pahang; serta Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

Jabatan itu meramalkan ribut petir melanda kebanyakan negeri di Semenanjung pada petang esok iaitu Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Melaka dan juga bahagian-bahagian lain negeri Sabah dan Sarawak.

Hujan turut diramal berlaku pada petang esok di beberapa negeri termasuk Terengganu, Kelantan dan Perak.

Pada sebelah malam pula, hujan diramalkan melanda beberapa kawasan di Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor, Kedah, Perak, Sarawak dan pantai barat Sabah.

Jabatan itu meramalkan ribut petir pada petang 3 Disember (Selasa) di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Johor, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, termasuk beberapa kawasan di Sarawak, di Tawau dan pedalaman Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala, hujan diramal berlaku di Perak, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sandakan dan pantai barat Sabah.

Bagaimanapun, keadaan cuaca di kebanyakan negeri di Semenanjung kecuali Perak, Pahang, Selangor, Kelantan dan Terengganu diramal baik pada sebelah malam. – BERNAMA

Related posts

Leave a Comment