SEMALAM, cuti sempena Hari Pekerja yang suatu masa dulu dikenali sebagai Hari Buruh.
Saya percaya sebagai golongan pekerja, ramai rakan lain turut menerima ucap selamat. Ada juga yang bergurau dengan menyertakan gambar botol minyak masak. Kalaulah itu terjadi di alam realiti, saya rasa dua tiga bulan tidak perlu membeli minyak masak! Bayangkan, setiap grup WhatsApp akan menghantar gambar yang sama. Jika 10 grup, dah tentu 10 botol, setiap satu pula seberat 5 kilogram. Sebaliknya ia hanya berlaku di alam maya, melalui WhatsApp. Begitulah teknologi kita hari ini yang lebih mudah dan cepat sesuatu isu itu disebarkan.
Mungkin ucapan bersama minyak masak itu hanya gurauan dan kebetulan pula kerana jenamanya. Bagaimana pula jika gurauan lain yang boleh menjejaskan nama baik syarikat pengeluar berkenaan?
Sepanjang semalam, sekurang-kurangnya jenama itu mendapat publisiti secara percuma, mungkin dapat menggalakkan orang ramai membeli produk itu apabila terpandang di pasar raya. Bagaimana jika jenama itu diubahsuai dengan paparan ‘perkara’ atau ‘kata-kata’ yang tidak elok? Tentunya ia menimbulkan kemarahan dan menjejaskan industri syarikat berkenaan. Berhati-hatilah ketika menyebarkannya. Memang mudah cut & paste atau forward. Jangan kita terjebak dalam suasana yang boleh menjejaskan kehidupan orang lain, mengaibkan sesama insan dan akhirnya paling bahaya menyebabkan kita terjebak ke kancah dosa yang tidak disedari. Berkaitan isu ini, pada Sabtu lalu, dalam kuliah maghrib di Masjid Al-Mustaqim, Bandar Seri Putra dekat Bangi, saya berpeluang mendengar satu ceramah bertajuk Dosa Halimunan Media Sosial oleh kolumnis agama sisipan Mega Utusan Malaysia, Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hawiz. Halimunan mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawa maksud tidak dapat dilihat. Maknanya dosa yang tidak dapat dilihat.
Bukannya tidak boleh kita me ngucapkan Selamat Hari Pekerja tetapi kadang-kadang dalam gurauan, kita mungkin `tergelincir’. Ada juga mesej yang baik. Contohnya ’13 wasiat untuk penjawat awam’. Tidak pasti sejauh mana kebenaran `wasiat’ itu tetapi ada beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan kepada golongan pekerja sama ada di sektor awam atau pun swasta. Contohnya jangan mengambil cuti sakit sedangkan anda tidak sakit kerana ia menghimpun dua maksiat iaitu berbohong dan makan wang gaji yang haram; perbaikkanlah layanan terhadap orang yang memerlukan perkhidmatan dengan meninggalkan yang baik kepada mereka dan setiap detik yang kamu terlambat atau tinggalkan pekerjaan sebelum selesai masa tugas, itu adalah hak yang akan dituntut pada hari hisab.
Ini adalah antara beberapa contoh mesej yang baik, sesuai dengan konsep kerja itu sebagai ibadah. Bermakna tidak semua yang kita viral itu buruk sekiranya melakukan tapisan lebih awal. Berbalik kepada ceramah malam semalam, Abdullah Bukhari pernah menulis isu yang sama di sisipan Mega Utusan Malaysia pada 17 November tahun lalu. Beliau juga mengadakan berapa siri ceramah berkaitan dan boleh diikuti juga melalui YouTube. Secara ringkas, beliau menjelaskan bagaimana lubuk dosa yang boleh wujud di dalam telefon pintar, komputer atau iPad. Jika dahulu tangan digunakan untuk melakukan dosa secara nyata seperti mencuri, membunuh dan sebagainya tetapi hari ini, tangan itu cukup mudah melakukan dosa tanpa dapat dilihat – hanya menekan papan kekunci (keyboard) atau simbol-simbol yang memudahkan bahan yang diterima disebar luas. Tanpa kita sedar, ramai yang menyebarkan maklumat yang tidak tepat termasuk ayat-ayat al-Quran dan hadis disebabkan tidak mendalami ilmu agama. Ada juga yang sengaja mencipta sesuatu isu untuk mendapatkan reaksi sehingga akhirnya menimbulkan aib orang.
Dialog-dialog yang sengaja direka walaupun sekadar gurauan atau bahan jenaka akhirnya bertukar menjadi fitnah. Telefon pintar kita menjadi lubuk dosa yang paling mudah apabila ada gurauan yang tidak sewajarnya seperti kematian, kejadian, bencana atau peristiwa yang menggemparkan, dialog berbentuk gurauan tetapi sebenarnya kesat dan lucah. Nampak seperti gurauan atau jenaka biasa tetapi hakikatnya boleh menimbulkan fitnah, kemarahan dan aib. Mungkin ramai pembaca yang setiap Khamis akan menerima gambar-gambar wanita yang semuanya dikaitkan dengan peristiwa ‘malam Jumaat’. Apa perasaan wanita atau gadis berkenaan apabila ia disebarkan untuk tujuan berkaitan seks. Apa reaksi sekiranya gambar wanita atau gadis itu melibatkan anggota keluarga atau saudara mara terdekat diri sendiri? Kadang-kadang orang yang telah meninggal dunia juga dijadikan bahan dialog yang sengaja direka.
Baru-baru ini juga, berikutan penarikan balik darjah kebesaran ke atas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman, timbul viral mengenai pelbagai perkara yang menyentuh dirinya. Begitu juga kononnya beliau akan diganti. Belum apa-apa sudah disebarkan profil pengganti. Berita itu tidak tepat tetapi itulah hakikat politik. Kini viral berkenaan tidak tepat. Ahmad Razif kekal sebagai Menteri Besar. Apa perasaan orang yang terlibat dengan viral ini?
Disebabkan WhatsApp sudah menjadi ketagihan, ramai daripada kita sudah tidak peduli akibat atau kesan buruknya. Niat untuk memberi `tazkirah’ berakhir dengan dosa. Ketagihan bersama telefon pintar dan sebagainya umpama perokok yang sedar bahawa merokok itu haram tetapi terus merokok. Terlalu sukar membuang ketagihan atau tabiat buruk itu. Maklumat tidak lagi ditapis untuk mendapatkan kesahihannya akibat ghairah mahu melaporkan sesuatu dengan lebih cepat dan pantas. Walaupun sesuatu berita aib itu disebarkan untuk pengajaran tetapi aib itu tidak boleh didedahkan. Amat malang, jika di sebalik amalan baik yang dilakukan setiap hari, segala nya dipalit dengan dosa halimunan ini. Jika orang yang membawa perkhabaran itu boleh juga ditanya tetapi apabila WhatsApp yang ma suk, tidak ramai yang mampu menyelidiknya.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan,” (al-Hujurat[49:6]).
Akhirnya seperti panduan yang diutarakan oleh Abdullah dalam tulisannya: Gunakan tangan pinjaman Allah sebaik-baiknya dengan menaip atau berkongsi yang indah, benar dan sahih sahaja. Jangan jadikan tangan itu ‘cangkul’ yang menggali lubang neraka dengan lebih dalam: “(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya,” (al-Anfal[8:51]).
Semoga kita tidak terperangkap dengan dosa halimunan ini.
UMA020516008C#