Peristiwa apa bakal berlaku menjelang detik 2014

APA yang akan berlaku esok? Itulah per-soalan yang timbul menjelang 31 Disember yang menandakan berakhirnya tahun 2013 dan kemunculan tahun baharu 2014. Detik 31 Disember menjadi perhatian kali ini bukan sahaja kerana menunggu ketibaan tahun baharu 2014 sebaliknya apa yang akan berlaku di ibu negara khususnya Dataran Merdeka. Setakat ini, lebih 1,000 laporan polis telah dibuat berhubung rancangan mengadakan perhimpunan haram yang dinamakan Himpunan Gulingkan Kerajaan. Mengikut laporan, beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipercayai terlibat dengan perhimpunan itu. Jika berlaku, sudah tentu ia akan bertembung dengan sambutan ambang tahun baharu yang bakal berlangsung di tempat yang sama. Alasan perhimpunan termasuklah menyatakan kegelisahan terhadap kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
Tidak hairanlah, ada pihak yang sengaja mencipta kalendar ‘selamat menyambut tahun barang naik 2014’. Kita mengalu-ngalukan terhadap usaha mana-mana pihak yang menyatakan keprihatinan atau bantahan terhadap cadangan yang akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat di negara ini. Baguslah ada pihak yang mahu mendengar denyut nadi rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana. Cuma yang membimbangkan ialah bagaimana bentuk keprihatinan itu?

Adakah dengan mengadakan perhimpunan seperti yang dirancangkan? Adakah pendekatan itu betul? Apakah mereka memberi jalan keluar terhadap masalah kenaikan kos ini? Atau mereka sekadar bercakap sambil menyembunyikan fakta yang mendorong kenaikan sesuatu barangan atau perkhidmatan. Tema perhimpunan itu yang mahu menggulingkan kerajaan juga sudah menampakkan niat di sebalik perhimpunan itu. Pihak-pihak ini begitu ghairah mahu mencontohi negara-negara yang berjaya menggulingkan kerajaan yang sah melalui perhimpunan. Apakah hasilnya? Ibarat yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Negara-negara ini tidak ke mana pun. Mungkin suasananya lebih teruk berbanding ‘kehidupan masa lalu’ yang dikatakan dicengkam pemimpin yang tidak demokratik atau `berkuku besi’. Kesannya, apabila negara berada dalam keadaan kucar-kacir, rakan-rakan terutama para pelabur menjauhkan diri. Ternyata perhimpunan seumpama ini bukanlah jalan penyelesaian terbaik kepada semua masalah sebaliknya menimbulkan masalah baru atau menambah masalah. Adakah menggulingkan kerajaan akan menyelesaikan masalah atau perasaan tidak puas hati rakyat terhadap sesuatu isu? Setakat ini, perhimpunan ini digerakkan berasaskan kepada rasa tidak puas hati rakyat dengan beberapa cadangan kerajaan seperti kenaikan tol, tarif elektrik, kos perkhidmatan atau pengangkutan awam dan sebagainya yang akan meningkatkan kos sara hidup. Di Malaysia, slogan yang dapat membantu menghentam kerajaan mampu menarik perhatian ramai kerana ia melibatkan kebanyakan rakyat. Dulu ada perhimpunan yang dikaitkan dengan pengundi para pilihan raya umum (PRU). Mereka menuntut supaya diadakan PRU yang bersih daripada pengundi hantu. Apabila senarai itu kelihatan bersih tanpa bukti pengundi hantu, mereka mendakwa kerajaan membawa pula pengundi hantu luar negara termasuk dari Bangladesh.

Malangnya kenyataan dan dakwaan itu tidak disertakan dengan bukti yang jelas. Apabila gagal berbuat demikian, pihak berkenaan seolah-olah mahu ‘mencuci tangan’.

Walaupun dakwaan itu gagal, hakikatnya, mereka sudah berjaya mempengaruhi rakyat dengan maklumat yang tidak tepat. Apabila pihak kerajaan muncul dengan fakta, penjelasan itu berlalu begitu sahaja tanpa dipedulikan oleh mereka yang sudah termakan dengan segala tohmahan berkenaan. Mereka tetap menolak penjelasan kerajaan. Mungkin pihak di sebelah kerajaan gagal menyusun strategi untuk menangkis segala serangan atau tohmahan yang semakin pantas ‘menjalar’ hanya melalui telefon bimbit.

Dalam isu kos sara hidup misalnya, setiap orang mahukan kos yang rendah malahan seboleh-bolehnya mahu kerajaan memberi semuanya secara percuma, tidak perlu membayar. Semua orang mengimpikan air, elektrik dan tol percuma. Air dikatakan sumber kurniaan tuhan yang tidak seharusnya dijual. Tarif elektrik juga tidak harus naik kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak seharusnya mengutamakan keuntungan. Begitu juga dengan tol kerana menyediakan lebuh raya adalah satu tanggungjawab kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur. Begitulah serangan yang dilakukan terhadap kerajaan berikutan beberapa cadangan untuk menaikkan harga bagi beberapa perkhidmatan tertentu. Alasan mereka yang mudah itu menyebabkan kebanyakan rakyat terpengaruh dan mahu ‘bangkit’ bersama-sama untuk menentang kerajaan. Ada juga dalam kalangan mereka yang tidak dapat menerima hakikat kenaikan harga akan menuding jari kepada orang lain yang dikatakan menjadi penyebab kenaikan. Apakah kenaikan kos sesuatu barangan atau perkhidmatan itu hanya disebabkan oleh individu tertentu sahaja? Apabila ada pihak memberi pandangan mempertahankan keperluan menaikkan kadar tarif atau harga perkhidmatan dan barangan, mereka ini akan ‘diasak’ habis-habisan. Alasan paling mudah ialah mereka mendakwa pendapatan orang yang bercakap mempertahankan kenaikan kos itu terdiri daripada golongan berpendapatan tinggi.

Tidak ramai yang melihat kenyataan itu dengan berkata: ‘‘Kenapa pendapatan aku kecil tidak seperti dia yang bergaji besar?’’ Mereka merungut kerana terpaksa melakukan kerja sampingan lain bagi menambah pendapatan sehingga mengaitkan dengan isu-isu sosial lain seperti tidak sempat bersama keluarga dan masyarakat setempat. Ada pula yang lupa bahawa mereka tidak dapat membendung tabiat berbelanja sehingga terikut-ikut dengan rentak perbe-lanjaan orang berpendapatan tinggi.

Golongan yang sering mengkritik ini juga tidak melihat bagaimana apabila gaji mereka dinaikkan, golongan yang bekerja sendiri atau tidak bergaji tetap turut tertekan. Berapa ramai yang merungut apabila kakitangan awam menikmati kenaikan gaji, elaun atau bonus? Begitu juga dengan kenaikan gaji pemimpin kerajaan negeri yang melaungkan ‘slogan indah-indah’ semasa berkempen. Berapa ramai yang menentang kenaikan gaji sehingga 300 peratus itu? Berapa ramai pula yang bangkit menentang pihak yang tidak menunaikan janji indah kepada rakyat semasa berkempen?

Lebih mendukacitakan, ada pemimpin yang sebelum ini begitu ghairah menabur janji ko-nonnya untuk kesejahteraan rakyat sanggup mengakui dalam beberapa perkara, kenaikan pelbagai kos tidak dapat dielakkan. Adakah kerana semasa berkempen, mereka hanya mahu memancing undi untuk mendapatkan kuasa? Setelah kuasa di tangan, baru mereka tahu langit tinggi rendah dan ketika itu mengambil kesempatan ‘cuci tangan’ bagi mengelak segala janji yang dibuat. Begitulah jadinya apabila orang seperti jutawan air liur bercakap tanpa fakta. Ikut sedap mulut.

Selama mana, kita mahu mengekang kenaikan sesuatu kos? Kenapa tidak ada yang bertanya, haruskah nilai bantuan BR1M dinaikkan? Bagaimana pula jika nilai itu diturunkan? Apa pun yang akan berlaku esok, kita mengharapkan Malaysia akan terus berada da-lam suasana aman dan harmoni pada 2014. Selamat tinggal 2013 dan selamat datang 2014.

UMA301213010C001

Related posts

Leave a Comment