Peluang pengundi ubah kedudukan ‘tuan penasihat’ di Permatang Pauh

DARI utara ke selatan ‘tuan penasihat’ parti politik menjadi tumpuan ramai menjelang 5 Mei ini. Di utara, Penasihat PKR, Anwar Ibrahim mahu mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya selama lima penggal. Di selatan, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahu mencuba nasib di Gelang Patah selepas singgah di Ipoh Timur, Perak selama dua penggal dari Tanjong, Pulau Pinang.

Apakah nasib kedua-dua penasihat ini? Adakah pengundi akan mengubah kedudukan mereka seperti slogan Ubah yang dilaungkan DAP? Apa yang pasti pertembungan dua penasihat ini bukanlah sesuatu yang mudah. Anwar sudah lama bertapak di Permatang Pauh. Rekod Kit Siang juga hebat, pernah mengalahkan Dr. Lim Chong Eu, Ketua Menteri Pulau Pinang yang amat berjasa kepada negeri itu khususnya masyarakat Cina. Kit Siang juga pernah ditumbangkan di Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 1999.

Sebagai pengundi, saya lebih tertarik untuk melihat suasana di Permatang Pauh yang dianggap ‘kubu’ Anwar selepas beliau diturunkan sebagai calon ‘payung terjun’ pada 1982 dan membina kejayaan sehingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri. Matlamat akhirnya adalah untuk menjadi Perdana Menteri tetapi jika gagal ke Putrajaya kali ini, Anwar bersedia untuk menjadi pensyarah di sebuah universiti di United Kingdom. Sesuai dengan seruan ubah oleh DAP, adakah pengundi-pengundi Permatang Pauh memilih untuk mengubah kerjaya Anwar daripada seorang ahli politik kepada pensyarah?

Calon BN Parlimen Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail sudah pun melontarkan hasrat Anwar itu kepada pengundi-pengundi supaya memilih BN bagi memenuhi impian Anwar menjadi pensyarah. Mungkin itu lebih baik bagi Anwar daripada terus menjadi ketua pembangkang. Hasrat Anwar boleh direalisasikan sekiranya Dr. Mazlan mendapat sokongan 100 peratus daripada ang-gota parti komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP. Satu lagi faktor ialah mendapatkan sokongan daripada penyokong-penyokong Pas, parti yang pernah dianggotai Dr. Mazlan. Sebagai bekas anggota parti, penyokong-penyokong Pas mempunyai pilihan terbaik sama ada mahu menyokong bekas pemimpin mereka atau terus memilih Anwar yang diselubungi pelbagai isu dan pernah ‘menumbangkan’ calon-calon Pas termasuk penyandang kerusi, Zabidi Ali pada tahun 1982.

Mungkin disebabkan faktor ini juga, ada beberapa sepanduk atau papan tanda yang menyatakan sokongan kepada Dr.Mazlan. Misalnya di simpang tiga Kubang Ulu, Penanti, kawasan kelahiran Dr. Mazlan terdapat sepanduk Ahli-ahli Pas menyokong Dr. Mazlan. Bagaimanapun sepanduk itu sudah dicabut. Tidak mustahil, anggota Pas atau penyokong parti itu akan mengundi Dr. Mazlan. Seperti disebut dalam tulisan sebelum ini, rakan-rakan Dr. Mazlan sama ada di dalam Pas atau UMNO awal-awal lagi telah menawarkan diri untuk bekerja membantu calon BN itu memenangi kawasan tersebut sebagai tanda hormat dan sokongan kepada rakan lama mereka. Kedudukannya sebagai anak tempatan yang membesar di kawaan Penanti, Kubang Semang, Kubang Ulu dan sekitarnya, sudah tentu masyarakat akan memberi sokongan kepada anak tempatan berbanding Anwar yang datang dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam.

Selain itu, faktor ketiga yang mampu menyumbang kepada kemenangan Dr. Mazlan ialah pengundi-pengundi atas pagar serta peranan dan sokongan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Tidak lupa juga penyokong PKR yang asalnya daripada UMNO. Ramai yang sudah kecewa dengan Anwar. Semalam, di Tanah Liat, sekumpulan 50 penyokong tegar PKR meninggalkan parti itu untuk menyokong BN. Di Seberang Jaya, kira-kira 1,200 anggota PKR turut mengambil langkah yang sama.

Setakat ini, Dr. Mazlan tidak jemu-jemu turun padang untuk berkempen manakala ceramah pakatan pembangkang pula tidaklah serancak seperti pada pilihan raya sebelum ini. Kebanyakan ‘kempen’ lebih merupakan tindakan ‘provokasi’ bagi menyedarkan masyarakat setempat mengenai keha-diran PKR dan sekutunya. Misalnya, apabila diberi risalah BN, mereka akan mengoyaknya. Tidak sempat hendak dibaca. Akhirnya maklumat tidak sampai dan mereka terus dibuai mimpi indah pakatan pembangkang. Tidak dinafikan provokasi seumpama ini akan terus berlaku bagi mencuri perhatian. Suasana sekarang amat berbeza jika dibandingkan semasa pilihan raya kecil pada Ogos 2008 yang membawa semula Anwar ke pentas politik Per-matang Pauh. Ketika itu, Anwar mendapat sokongan dari seluruh pelusuk negara. Beliau menang dengan majoriti 15,671 undi apabila memperoleh 31,195 undi; Arif Shah Omar Shah (BN 15,524) dan Hanafi Mamat (AKIM 92).

Ketika ini Anwar lebih banyak menghabiskan masa berkempen di luar. Mungkin pada saat-saat akhir, beliau akan kembali ke kawasannya dan menimbulkan sesuatu isu yang boleh mengembalikan keyakinan pengundi-pengundi. Setakat ini tidak ada isu besar yang mampu dibawa oleh pakatan pembangkang di kawasan itu. Lebih banyak isu nasional dan berbentuk peribadi.

Rekod PRU di Permatang Pauh menunjukkan Anwar menang besar semasa mewakili BN tetapi rekod tidak semestinya tidak boleh ‘dipecahkan’. BN masih ada sokongan dan mampu memberi tentangan hebat di kawasan itu. Bukanlah mustahil pada kali ini, BN Permatang Pauh mampu menggugat kedudukan Anwar. Slogan ubah DAP sudah meresap kepada pengundi-pengundi Permatang Pauh. Apa yang penting seluruh anggota BN membulatkan tekad untuk mengundi calon itu tanpa sebarang prasangka. Inilah masa terbaik untuk pengundi-pengundi Permatang Pauh ubah kedudukan `tuan penasihat’ itu.

UMA290413014C001

Related posts

Leave a Comment