Masing-masing ghairah menjadi ‘panglima perang’ menjelang PRU

SEJAK kebelakangan ini ramai yang sudah bercakap mengenai siapa yang akan masuk dan siapa pula yang akan keluar ‘gelanggang’ pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Di sesetengah negeri, ada pemimpin parti politik tertentu seperti Pas dan DAP yang sudah bertindak sebagai ‘panglima perang’ yang menunjukkan jalan keluar atau jalan masuk kepada orang tertentu menjelang PRU.

Ada juga yang menawarkan diri untuk bertanding kerana menganggap diri mereka sebagai calon boleh menang atau winnable candidate seperti yang diuar-uarkan oleh UMNO. Diharapkan tindakan mengisytiharkan diri sebagai calon boleh menang itu tidak menimbulkan perasaan serba salah kepada pemimpin parti di semua peringkat. Jika mereka yakin boleh menang, berilah peluang.

Tidak wajar untuk menolak bulatbulat mereka yang yakin menang ini. Begitu juga yang enggan bertanding. Bagi yang mahu berundur tidak bermakna mereka ini tidak boleh menang. Jika yang mahu berundur ini sebenarnya mampu untuk menang, eloklah dipertimbangkan semula. Ini kerana PRU13 amat penting dan tidak seharusnya berlaku seperti kata orang Pulau Pinang, Balik Pulau Bayan Lepas, di sana terpelau di sini terlepas.

Sebenarnya di kalangan mereka yang menawarkan diri untuk bersara ini mempunyai sebab-sebab tertentu untuk berbuat demikian sama ada sudah lama menjadi wakil rakyat; ingin memberi peluang kepada muka baru; masalah usia dan kesihatan atau tidak mahu menimbulkan masalah kepada pemimpin.

Mungkin di kalangan yang menawarkan diri untuk tidak bertanding ini sebenarnya calon boleh menang yang sepatutnya perlu diberi perhatian. Maknanya seperti yang pernah diselak sebelum ini, muka lama tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Lihatlah bagaimana DAP dan Pas yang tetap menurunkan veteran mereka untuk bertanding setiap kali PRU. Selak kembali kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh baru-baru ini. Katanya, tanpa veteran yang ‘membina’ parti maka tidak ada pemimpin sekarang. Oleh itu, janganlah melupakan golongan veteran.

Justeru, bukanlah satu kejutan seandainya veteran seperti Karpal, Lim Kit Siang atau Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus mewarnai PRU13 akan datang. Lebih-lebih lagi berdasarkan kedudukan dalam parti, mereka sudah tentu layak untuk bersama-sama muka baru meneruskan agenda perjuangan. Walaupun Karpal, Kit Siang atau Nik Abdul Aziz mempunyai rekod pernah kalah tetapi rekod kemenangan mereka mengatasi kekalahan.

Maka amat wajar adunan lama dan baru digandingkan. Cuma mungkin wujud perbezaan bagi penerimaan golongan lama ini. Lain parti lain pula penerimaannya. Bak kata orang lain padang lain belalang. Ada pengundi yang boleh menerima orang lama dan ada pula yang hanya mahu muka baru. Ada pengundi yang tidak kisah sama ada orang lama itu boleh buat kerja atau tidak asalkan ia calon pilihan pengundi yang boleh menang.

Pengundi seperti ini tidak peduli sama ada bakal wakil rakyat mereka boleh turun ke bawah bertemu rakyat atau sekadar menghantarwakilnya. Ada pengundi yang sekadar cukuplah calon itu hadir pada kempen PRU kemudian boleh ‘menghilangkan diri’ selepas menang.

Apa yang penting bagi pengundi seperti ini, pemimpin ‘pujaan’ ini menjadi pilihan untuk bersuara sekali sekala di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN). Parti politik yang mempunyai calon seperti ini tentunya bertuah kerana pengundi tidak peduli sama ada mereka ‘turun padang’ atau tidak selepas ‘menunjuk muka’ semasa berkempen. Apa yang penting, calon itu boleh menang mewakili parti pilihan mereka. Soal kerja, serahkan kepada pihak lain terutama kepada kerajaan yang akan dibentuk atau wakil Yang Berhormat (YB) yang membuka pejabat perkhidmatan wakil rakyat.

Begitu juga dengan asal usul calon. Ada parti yang boleh meletak calon ‘payung terjun’ yang datang dari mana-mana sahaja dan akan diterima pengundi tetapi ada juga parti (maksudnya ahli-ahli parti) yang sama sekali tidak dapat menerima calon seperti ini dan jika ia ‘terjun’ juga di situ, berakhirlah riwayatnya.

Mungkin ‘payung terjunnya’ tersangkut di dahan pokok atau ‘riwayatnya berakhir’ sebaik jatuh ke bumi.
Selain isu calon yang mewarnai PRU akan datang, pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu ada perwakilan yang mengingatkan pemimpin supaya tidak menimbulkan masalah yang akan menyukarkan mereka di bawah (pemimpin peringkat bahagian) untuk menangkis segala serangan.

Maknanya menjelang PRU, pemimpin perlu mengelakkan isu-isu yang boleh mencetuskan kontroversi berpanjangan yang menyukarkan pemimpin di bawah untuk menerangkan kedudukan sebenar. Lebih-lebih lagi isu yang boleh dijadikan ‘bola tanggung’ kepada pembangkang.

Tidak ada gunanya kerajaan memberi pelbagai insentif bagi menarik perhatian rakyat tetapi pada masa yang sama mereka sama ada sedar atau tidak terus ‘mencipta isu’ yang boleh menimbulkan keresahan khalayak.

Ketika ini terdapat beberapa isu seperti Pusat Fidlot Nasional (NFC), Felda dan novel Interlok yang mungkin menjadi bahan berterusan menjelang PRU. Mungkin isu-isu ini paling panas dibahaskan di blog atau media sosial seperti Twitter, Friendstar, Facebook atau Myspace.

Melalui media sosial seperti ini, sudah tentu yang ‘dibelasah’ teruk adalah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan yang berkaitan dengannya. Persoalannya adakah BN mempunyai jentera atau kekuatan untuk mematahkan serangan dan hujahan yang disalurkan melalui media seperti ini? Di media sosial seperti inilah, patut lahir ‘panglima perang’ PRU yang bersedia menangkis pelbagai isu yang dibangkitkan, bukan ghairah bercakap mengenai ‘bala tentera’ yang akan diturunkan di medan PRU.

Pemimpin UMNO dan begitu juga dari MCA, MIC dan Gerakan perlu lebih berhatihati ketika mengeluarkan kenyataan dan pandangan menjelang PRU yang dikatakan semakin hampir ini. Elakkan sebarang kesilapan. Janganlah terlalu ghairah mencari publisiti sehingga mendahului pemimpin tertentu yang sepatutnya mengeluarkan kenyataan, lebih-lebih lagi berkaitan isu yang boleh menyentuh sensitiviti kaum.

Kadang-kadang ada pemimpin yang mendabik dada, mahu tunjuk ‘hero’ sebaliknya tindakan itu menimbulkan kebencian di kalangan rakan-rakan sekeliling dan lebih parah apabila ia melibatkan pengundi-pengundi di sekeliling parti yang diwakilinya.

Sebenarnya tidak semua keputusan Kabinet harus diumumkan oleh sebarang menteri sebaliknya menyerahkan kepada menteri terlibat dan pemimpin paling kanan, mungkin Perdana Menteri atau timbalannya atau presiden parti yang ada kedudukan dalam Kabinet.

Lebih malang lagi, isu yang sudah lama dilupakan dan telah ada penyelesaiannya tiba-tiba muncul kembali kerana kenyataan terbaru yang menggemparkan semua pihak. Pada hal keputusan itu juga sudah lama dibuat tetapi tidak disampaikan secara berhemah oleh pemimpin berkenaan.

Kata orang, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar!

UMA191211012C001

 

Related posts

Leave a Comment