BAGHDAD – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, pada Sidang Kemuncak Liga Arab Ke-34, semalam menggesa negara-negara Arab mengguna pakai pelan bersama bagi menamatkan perang Israel yang berterusan ke atas Gaza.
Abbas turut mencadangkan satu persidangan antarabangsa diadakan di Kaherah bagi membiayai dan melaksanakan pembinaan semula Gaza yang menurutnya tidak lagi boleh didiami ketika ini.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan Pilihan Raya Presiden serta badan perundangan pada 2025, sebaik saja syarat-syarat yang sesuai diwujudkan di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis.
Persidangan dihoskan oleh Iraq untuk kali pertama sejak 2012 itu diadakan di tengah-tengah kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Presiden Iraq, Abdul Latif Rashid, mengecam apa yang disifatkannya sebagai ‘pencerobohan Israel yang berterusan’ dan menolak sebarang percubaan untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza atas apa jua alasan.
Katanya , keselamatan bersama Arab tidak boleh dipecahkan sambil menggesa negara-negara Arab agar bekerjasama mengekalkan kestabilan serantau.
Menteri Luar Bahrain, Abdullatif Al-Zayani selaku Pengerusi persidangan ke-33 yang lalu, menegaskan sokongan Bahrain terhadap pembinaan semula Gaza dan usaha mengekalkan gencatan senjata.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, meminta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meningkatkan tekanan bagi gencatan senjata segera di Gaza.
Beliau memberi amaran bahawa tanpa penubuhan sebuah negara Palestin, kestabilan sebenar serantau akan sukar dicapai walaupun Israel memperoleh lebih banyak perjanjian normalisasi.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez yang turut menghadiri persidangan itu, berkata: “Palestin sedang berdarah di depan mata kita.” serta mengumumkan inisiatif bersama Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak penamatan sekatan ke atas Gaza.
Sanchez mencadangkan empat keutamaan segera – menamatkan krisis kemanusiaan di Gaza, meningkatkan tekanan untuk menghentikan keganasan, memajukan satu penyelesaian politik, dan meningkatkan dialog Eropah-Arab-Islam.
Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia Al-Sudani pula berjanji menyediakan AS$20 juta untuk pembinaan semula Gaza dan AS$20 juta lagi untuk Lubnan sambil mencadangkan penubuhan dana Arab bagi menyokong usaha pemulihan di negara-negara yang terjejas konflik.
Mengenai Syria, Al-Sudani menegaskan sokongan terhadap perpaduan negara itu dan peralihan politik, serta mengalu-alukan keputusan terbaru AS untuk menarik balik sekatan, dengan harapan ia dapat mengurangkan penderitaan rakyat Syria.
Pemimpin lain yang menghadiri persidangan itu termasuk Amir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, dan Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, Perdana Menteri Jordan, Jaafar Hassan mewakili Raja Abdullah, manakala Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam hadir bagi pihak Presiden, Joseph Aoun.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, serta wakil organisasi antarabangsa dan serantau.
Nnnn
