RIYADH – Arab Saudi dijangka menerima kelengkapan dan perkhidmatan peperangan canggih susulan perjanjian pertahanan antara kedua-dua negara bernilai hampir AS$142 bilion (RM614 bilion).
Rumah Putih yang menyifatkannya sebagai ‘perjanjian jualan pertahanan terbesar dalam sejarah menyatakan lebih sedozen firma pertahanan AS akan menyediakan bekalan dan perkhidmatan itu.
Menurut kenyataan di laman sesawang rasmi Rumah Putih, perjanjian itu meliputi lima bidang utama iaitu pemodenan tentera udara dan keupayaan angkasa lepas, pertahanan udara dan peluru berpandu, keselamatan maritim dan pesisir pantai, keselamatan sempadan dan pemodenan pasukan darat, serta penaiktarafan sistem maklumat dan komunikasi.
“Pakej ini turut merangkumi latihan dan sokongan meluas bagi memperkukuh keupayaan angkatan bersenjata Arab Saudi, termasuk pemantapan akademi ketenteraan dan perkhidmatan perubatan tentera,” menurut kenyataan itu.
Rumah Putih menyatakan perjanjian ini mencerminkan pelaburan besar dalam pertahanan dan keselamatan serantau Arab Saudi yang berpaksikan sistem serta latihan Amerika.
Selain sektor pertahanan, Rumah Putih turut mengumumkan perancangan kerjasama dipertingkat dengan Arab Saudi dalam sektor kritikal seperti kesihatan, tenaga dan sains
Ia termasuk usaha bersama dalam pembangunan infrastruktur tenaga, penerokaan sumber galian dan mineral, misi angkasa lepas bersama, serta Perjanjian Pengangkutan Udara moden bagi membolehkan perkhidmatan kargo terus antara kedua-dua negara.
Trump tiba di Riyadh awal pagi Selasa untuk memulakan lawatan empat hari ke Asia Barat yang turut merangkumi Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Presiden AS itu dijadual menghadiri sidang kemuncak bersama pemimpin negara Teluk pada 14 Mei sebelum meneruskan lawatan ke Doha, Qatar pada hari yang sama dan ke Abu Dhabi, UAE pada 15 Mei.
Arab Saudi merupakan antara rakan dagang terbesar AS di Asia Barat, dengan pelaburan langsung negara itu di AS berjumlah AS$9.5 bilion (RM41 bilion) pada 2023, tertumpu dalam sektor pengangkutan, hartanah dan automotif.
Nnnn
