Bersedia hadapi suhu melampau di Makkah

MAKKAH – Kementerian Haji Saudi mengingatkan jemaah haji supaya bersedia dari segi mental dan fizikal, bagi menghadapi jangkaan suhu semasa melampau yang mencecah antara 45 dengan 50 darjah Celsius di Makkah.

Menurut satu kenyataan, setakat ini suhu di kota suci Madinah sudah mencecah 41 darjah Celcius.

“Tahun ini cuaca dijangka sangat panas dan kering. Suhu boleh mencecah melebihi 45 darjah Celsius dan di Madinah, setakat ini sudah mencecah 41 darjah Celsius. Kita harus bersedia dari segi mental dan fizikal,” kata kenyataan itu.

Susulan musim haji 2025 semakin hampir, jutaan jemaah dari seluruh dunia dijangka berkumpul di tanah suci dalam suasana yang penuh barakah, namun kali ini dengan cabaran kesihatan yang serius.

Menurut rekod, pada musim haji 2024, lebih 1,300 jemaah dilaporkan meninggal dunia, kebanyakannya akibat strok haba dan dehidrasi, ketika itu mencecah 51.6 darjah Celsius, menjadikan antara musim haji paling panas dalam sejarah moden.

Keadaan itu turut diburukkan dengan kehadiran jemaah tanpa permit rasmi, yang terpaksa menunaikan haji dalam keadaan tidak selesa dan tanpa kemudahan asas.

Menurut pakar geopolitik dari Universiti Birmingham, Umer Karim, langkah seperti pemeriksaan ketat di pintu masuk Makkah, penambahan unit pendingin bergerak, serta sistem amaran strok haba sedang giat dibincangkan.

Pakar perubatan dari Pusat Penyelidikan Perubatan Antarabangsa Raja Abdullah, Dr Abderrezak Bouchama, berkata beliau percaya pihak berkuasa Arab Saudi akan lebih tegas kali ini dalam menangani kemasukan jemaah tidak sah dan menambah baik langkah mitigasi haba.

“Penggunaan ruang berhawa dingin berhampiran Kaabah, lorong penyejuk hawa di Safa dan Marwah, serta sistem pancuran kabus telah pun membantu, tetapi belum cukup untuk menangani risiko keseluruhan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan jemaah supaya minum air secara berterusan,  kunci utama mengelakkan strok haba walaupun mereka perlu keluar daripada kawasan panas di samping penyejukan aktif seperti rehat di ruang berhawa dingin, menggunakan payung dan menyiram kepala dengan air sejuk.

Langkah praktikal yang disarankan kepada jemaah termasuk membawa botol air sepanjang masa dan minum secara berkala dan mengelakkan kegiatan berat antara 11 pagi dengan 3 petang.

Mereka juga disyor menggunakan pelitup muka dan pakaian berwarna cerah dan longgar serta mendapatkan rehat berkala di kawasan teduh atau berhawa dingin selain mengelakkan makanan berat yang tinggi garam dan lemak.

Jemaah juga harus peka terhadap gejala awal strok haba seperti pening atau sakit kepala yang teruk, loya dan muntah, kulit panas, kering serta kemerahan selain mengelakkan degupan jantung laju sehingga pengsan atau tidak sedarkan diri.

Sekiranya mengalami gejala tersebut, jemaah dinasihatkan segera mencari tempat teduh, membasahkan badan dengan air sejuk dan minum air dengan segera sebelum menghubungi pasukan perubatan atau relawan haji.

Selain itu, jemaah juga digalakkan guna alat pelindung diri seperti payung, cermin mata hitam, topi atau kain penutup kepala, yang amat membantu mengurangkan pendedahan kepada sinaran terik matahari.

Mereka turut dinasihatkan menyesuaikan ibadah dengan kemampuan diri, elakkan berasak-asak dan ambil masa untuk berehat serta ketahui suhu semasa dan atur ibadah pada waktu yang lebih selamat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment