NEW YORK – Ketegangan antara India dan Pakistan kini berada pada tahap tertinggi dalam tempoh beberapa tahun yang meletakkan hubungan kedua-dua negara kini berada di ambang bahaya.
Justeru, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa India dan Pakistan tidak mencetuskan konflik ketenteraan susulan ketegangan yang terus memuncak di Asia Selatan.
Kedua-dua negara jiran itu menempatkan angkatan tentera masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga selepas saling menuding jari berhubung serangan pengganas baru-baru ini di Kashmir yang ditadbir India.
Guterres yang turut dukacita dengan perkembangan itu berkata, PBB bersedia menyokong sebarang inisiatif yang menjurus kepada meredakan ketegangan dan usaha diplomasi.
“Saya faham emosi yang tercetus susulan serangan pengganas yang mengerikan di Pahalgam pada 22 April lalu. Saya sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Adalah amat penting terutamanya pada saat kritikal ini untuk mengelakkan konfrontasi ketenteraan. Kini masanya untuk semua pihak menunjukkan tahap kesabaran maksimum dan mengundurkan diri dari tebing bahaya,” katanya kepada wartawan di luar Majlis Keselamatan PBB di Ibu Pejabat PBB di New York.
Iran kini giat berusaha dengan India dan Pakistan dalam mencari jalan untuk meredakan ketegangan.
Situasi serantau menjadi antara fokus utama dalam pertemuan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dengan pemimpin Pakistan di Islamabad dan beliau dijadualkan ke India pada Khamis.
New Delhi menyalahkan Islamabad kerana didakwa menyokong serangan maut ke atas pelancong di wilayah Kashmir yang dipertikaikan, yang terletak di sebelah India bulan lalu, sekali gus mencetuskan ancaman ‘panas’ dan tindakan diplomatik balas-membalas antara kedua pihak.
Semalam, tentera Pakistan mengumumkan bahawa ia sudah menjalankan ujian peluru berpandu kedua sejak ketegangan memuncak.
Pakistan dan India – yang terbentuk selepas pemisahan berdarah dari pemerintahan British pada 1947 –sudah berperang beberapa kali dan kekal sebagai seteru ketat.
Ketegangan hubungan juga dapat dilihat apabila India pada 2 Mei lalu mengeluarkan arahan melarang semua import secara langsung dan tidak langsung dari Pakistan.
Beberapa jam selepas ujian peluru berpandu Pakistan, India juga. menghentikan aliran air dari Empangan Baglihar di Sungai Chenab ke Pakistan dan kini sedang bersiap untuk mengurangkan aliran dari projek Kishanganga di Sungai Jhelum.
Tindakan itu selari keputusan tegasnya untuk tidak membenarkan walau setitis air dari sistem sungai Indus mengalir ke negara jirannya itu.
Nnnn
