JEMPOL 3 Mei – “Kenapa UMNO saja tidak dibubarkan dan masuk Bersatu?,” Itu pertanyaan Muhyiddin Yassin ketika semasa mengulas saranan veteran UMNO supaya Bersatu dibubarkan.
Presiden Bersatu itu menegaskan tiada keperluan untuk membubarkan parti itu dan menyertai UMNO seperti yang dicadangkan oleh Setiausaha Veteran UMNO, Mustapha Yaakub kelmarin.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Penyelaras Perikatan Nasional (PN) DUN Jeram Padang di sini hari ini, Muhyiddin.berkata, Bersatu bukanlah bekas UMNO yang perlu dibubarkan dan anggotanya menyertai UMNO.
” Kenapa minta bubarkan Bersatu, kita (Bersatu) bukan ex-UMNO, seolah-olah bekas UMNO…malah Bersatu mempunyai kerusi Parlimen paling banyak berbanding UMNO. Tidak kurang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Bersatu juga sudah membentuk Perikatan Nasional (PN), begitu juga negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah PN, kenapa perlu bubar?
PN pula wujud sebagai sebuah pertubuhan politik yang sah dari segi undang-undang dan kita tiada masalah dalam hal berkaitan,” katanya
Mustapha sebelum ini menyarankan agar Bersatu tidak bekerjasama dengan UMNO, sebaliknya kembali bersama dalam UMNO dengan mengadakan perhimpunan agung khas bagi membubarkan parti dan menyertai semula UMNO secara ‘en bloc’.
Saranan itu susulan kenyataan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.yang terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO.
Muhyiddin berkata, Bersatu juga berdiri dengan prinsip asas perjuangan untuk tidak bekerjasama dengan DAP.
Katanya, biarpun ada yang mendakwa dahulu Bersatu juga bekerjasama dengan DAP, tapi ia tidak lama kerana Bersatu mengambil keputusan untuk tinggalkan DAP dan Pakatan Harapan (PH).
Ditanya mengenai kerjasama dengan UMNO, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan begitu sahaja disebabkan ia perlu dibincang dalam biro politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi parti dan PN.
“Ada beberapa isu rumit yang perlu dibincang dan ia tidak semudah itu untuk dijadikan kenyataan walaupun secara prinsipnya Bersatu bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai aspirasi perjuangan yang sama,” katanya.
NNNN
