Penjelasan PM lemah, mengelirukan – Pas

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Penjelasan  Anwar Ibrahim berkenaan Titah Adendum yang melega hukuman ke atas  Najib Razak bukan sahaja lemah dan mengelirukan, tetapi berpotensi mencetus konflik undang-undang dan krisis Perlembagaan, selain menghakis keabsahan kerajaan pimpinannya sendiri.

Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan itu hanya dibuat selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapat suatu kebenaran (leave) bagi Najib memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Katanya, kerajaan sudah tidak mempunyai pilihan melainkan mengakui kewujudan titah itu setelah hampir satu tahun mengelak untuk mengesahkan kewujudannya.

“Cara pengakuan itu dibuat adalah secara bersahaja, dalam satu acara umum yang tidak berkaitan sama sekali ataupun layak bagi satu isu penting yang membabitkan Duli-duli Yang di-Pertuan Agong, Sultan Pahang, Peguam Negara, mahkamah serta hak seorang banduan mengikut undang-undang.

Ini menunjukkan seolah-olah Perdana Menteri beranggapan perkara tersebut tidak layak mendapat perhatian khas kerajaan umpama melalui satu kenyataan rasmi daripada beliau sendiri atau mana-mana kementerian mahupun agensi khusus yang berkait langsung dengannya,” kata Takiyuddin.

Anwar dalam satu majlis di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam menolak
dakwaan bahawa kerajaan “menyorok” dokumen itu.

Perdana Menteri sebaliknya dilaporkan berkata “…surat itu (titah Agong ke-16) dihantar kepada Peguam Negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan. Peguam Negara kemudian, bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara kerana Agong (ke-17) yang pengerusikan (Lembaga PengampunanWilayah Persekutuan). Itu keadaan dia. Bukan kita sorok”.

Episod Addendum bermula dengan pengakuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Januari 2024 tentang kewujudan titah berkenaan, surat-surat Najib kepada Peguam Negara, kementerian-kementerian dan agensi terbabit berkait isu sama.

Ini disusuli ucapan bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen pada Mac 2024 sehinggalah kepada tiga ucapan Ahli Parlimen Kota Bharu juga di Parlimen pada 24 Oktober, 9 dan 10 Disember, termasuk semasa sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ), yang kesemuanya berkisar tentang isu sama.

Kerajaan secara konsisten menangkis persoalan itu dengan pelbagai helah dan alasan yang sama sekali tidak munasabah.

Dalam kenyataannya, Takiyuddin berkata, hakikatnya kerajaan mempunyai peluang dan kesempatan yang begitu banyak untuk menjelaskan isu ini secara jujur, namun terus memilih untuk tidak menjawabnya sehingga memaksa Najib memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada April 2024.

Permohonan ini turut disokong oleh dua afidavit sokongan (affidavit-in-support) yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail bagi menyokong permohonan bekas Perdana Menteri itu.

Menurut Takiyuddin, sebagai kerajaan yang kerap bercakap tentang kepentingan tatakelola dan kecekapan pentadbiran, kegagalannya bertindak balas secara profesional dan telus dalam isu ini tentulah tidak boleh diterima sama sekali.

“Ia bukan sahaja menyerlahkan sikap “cakap tak serupa bikin” kerajaan, tetapi menghakis integriti, malah keabsahan kepemimpinan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, pendirian konsisten peguam kerajaan dalam prosiding semakan kehakiman Najib di kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk terus berdiam diri berhubung kewujudan titah berkenaan juga boleh disifatkan sebagai perbuatan menyembunyikan maklumat penting daripada mahkamah dan boleh ditafsirkan sebagai “menipu” mahkamah dalam isu yang menjadi pertikaian.

“Ini tentulah bercanggah sama sekali dengan penjelasan Anwar bahawa titah berkenaan telah dialamatkan kepada Peguam Negara. Sebagai penasihat undang-undang kerajaan, tidak mungkin Peguam Negara memilih bukan sahaja untuk “menyembunyikan” titah yang diterimanya secara langsung daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 sebelum itu, tetapi terus mendiamkannya di mahkamah.

Jelas bahawa tindakan itu mendedahkan Peguam Negara kepada kesalahan seperti menghalang perjalanan keadilan, menghina mahkamah, salah laku pegawai awam, menipu, salah laku profesional, menghalang keadilan, tafsiran salah selain pelbagai tindakan sivil lain yang boleh diambil terhadap beliau dan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, penjelasan Anwar berhubung tindakan Peguam Negara menyerahkan titah berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tindakan lanjut kerana kedudukan baginda sebagai Pengerusi Lembaga Pengampunan berikutnya pula mendedahkan kerajaan kepada konflik undang-undang dan Perlembagaan berikutan tiadanya peruntukan undang-undang yang membenarkannya.

“Semasa titah itu dibuat, Yang di-Pertuan Agong ke-16 masih bertakhta dan titah baginda mesti dilaksanakan sepenuhnya kerana kegagalan berbuat demikian boleh diistilahkan sebagai perbuatan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan.

Sekiranya Peguam Negara ketika itu berpendapat kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan tertakluk pada nasihat Lembaga Pengampunan, maka beliau sekali lagi bertindak berlawanan dengan peruntukan Perlembagaan mengenai kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Kedudukan ini disahkan oleh duluan (precedent) mahkamah dalam kes Superintendent of Pudu Prison lwn Sim Kie Chon (1986) dan kes Karpal Singh lwn Sultan Selangor (1988) yang memutuskan bahawa “Lembaga Pengampunan hanyalah badan penasihat dan Agong tidak wajib mengikuti nasihat tersebut semasa melaksanakan kuasa pengampunan bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan”,” katanya.

Takiyuddin berkata, selain kecamuk pentadbiran dan potensi konflik undang-undang yang dicetuskan oleh penjelasan itu, ia juga secara jelas menimbulkan cemar dan krisis kepercayaan terhadap institusi-institusi utama negara.

“Pas percaya kesemua kelemahan, kecelaruan dan kecamuk undang-undang yang berlaku dan berpotensi berlaku di bawah kepemimpinan Perdana Menteri berhubung isu ini, terdedahnya kerajaan kepada tindakan undang-undang oleh pihak-pihak yang berkepentingan, selain sikap sambil lewa dan berlepas tangan beliau dalam menanganinya sejak awal, menimbulkan persoalan besar terhadap kelayakannya untuk kekal sebagai ketua dan pemimpin kerajaan.

“Perkara ini turut berlawanan dengan sumpah jawatan yang diikrarkannya untuk menjunjung:Perlembagaan, taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan konsep Raja Berperlembagaan, mematuhi undang-undang dan lain-lain seumpamanya semasa mula menjawat jawatan Perdana Menteri ke-10,” katanya.

Kegagalan Anwar ini juga katanya akan mengheret negara dan masyarakat ke dalam konflik serta polemik tidak berkesudahan yang mahu dihindari dan menjadi asas serta justifikasi kepada pembentukan “kerajaan perpaduan” hari ini yang didakwa atas saranan Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lebih dua tahun lepas.

Nnn

Related posts

Leave a Comment