Menteri UMNO sedia beri keterangan

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini memutuskan semua Menteri Kabinet daripada parti itu bersedia memberi keterangan di Mahkamah Tinggi dalam prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum, Najib Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ketika membacakan kenyataan media berkata, menteri-menteri yang mewakili UMNO bersedia untuk memberi kerjasama kepada Mahkamah Tinggi jika diperlukan untuk memberi keterangan.

Beliau berkata, UMNO juga akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri itu, selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“UMNO selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas mesyuarat MKT.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO yakin Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum.

Menteri daripada UMNO dalam Kabinet adalah Presiden, Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah selain Timbalan Presiden, Mohamad Hassan, menjadi Menteri Luar.

Naib Presiden UMNO, Mohamed Khaled Nordin memegang portfolio Menteri Pertahanan, manakala seorang lagi Naib Presiden UMNO, Johari Abdul Ghani,  Menteri Perladangan dan Komoditi.

Ketua Penerangan UMNO,  Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Undang-undang dan Reformasi Institusi) manakala Ahli Majlis Tertinggi UMNO,  Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Noraini Ahmad dan empat lagi  Ahli MKT UMNO dilantik sebagai Timbalan Menteri adalah Ahmad Maslan; Abdul Rahman Mohamad; Mohamad Alamin dan Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Najib pada Isnin lalu berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment