PKPD di Anjung Teduh

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan di Anjung Teduh, Felda Sahabat di Lahad Datu, Sabah berkuatkuasa 24 Oktober ini sehingga 6 November 2020.

Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut diambil selepas mendengar pembentangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah mengenai peningkatan kes positif di lokaliti tersebut.

“PKPD ini akan melibatkan 544 unit rumah dengan seramai 4,629 orang penduduk,” katanya pada sidang media harian pada Khamis.

Kerajaan juga melanjutkan pelaksanaan PKPD di enam lokaliti di Semporna dan satu lokaliti di Kunak bermula 24 Oktober sehingga 6 November depan.

Ia melibatkan Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul, Kampung Pinggir Bakau di Semporna dan satu lokaliti di Kunak iaitu Kampung Pangkalan.

Ismail Sabri berkata, lanjutan itu susulan penilaian risiko yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati masih terdapat penularan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Pelanjutan tempoh juga bagi membolehkan saringan berterusan dilakukan dan bagi membendung penularan Covid-19 di lokaliti-lokaliti berkenaan.

Sebelum ini,  PKPD di lokaliti tersebut yang bermula pada 11 Oktober dan sepatutnya tamat pada 24 Oktober ini.

Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antara SOP yang perlu dipatuhi:

• Semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD.

• Namun demikian, sedikit kelonggaran akan diberikan terhadap aktiviti perniagaan kedai runcit untuk beroperasi dari jam 6.00 pagi sehingga 6.00 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.

• Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada PDRM.

• KKM akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat.

• Bekalan keperluan makanan bagi yang memerlukan akan diagihkan oleh Kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.

• Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

Related posts

Leave a Comment