BAKU – Azerbaijan kini menjadi anggota terbaharu Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8), selepas dipilih menyertai kumpulan berkenaan pada Sidang Kemuncak ke-11 D-8 yang berlangsung di Kaherah, Mesir.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Azerbaijan, buat kali pertama sejak penubuhannya, D-8 telah berkembang dengan menerima anggota baharu.
Kenyataan itu berkata, keahlian Baku dalam D-8 sebagai “contoh jelas” pengaruh Azerbaijan di peringkat antarabangsa dan kepercayaan dunia terhadap negara ini yang semakin meningkat.
Menggelar D-8 sebagai “Islamic Eight,” kenyataan itu menyerlahkan potensi ekonomi blok berkenaan yang dihuni oleh “60 peratus umat Islam dunia.”
Kenyataan itu turut mengatakan bahawa Azerbaijan akan memainkan “peranan penting dalam mempertahankan prinsip asas D-8 serta memperkukuh kerjasama dalam organisasi itu.”
Ia turut menegaskan kepentingan “keselamatan, kestabilan, kemakmuran, dan kerjasama yang saling memanfaatkan” di rantau ini, serta menggalakkan hubungan dalam bidang “ekonomi dan perdagangan, pengangkutan, komunikasi, dan beberapa sektor penting lain.”
Dengan “peranan sebagai jambatan antara Timur dan Barat” serta sebagai hab budaya, agama, dan tamadun dalam dunia Islam, keahlian Azerbaijan dijangka menyumbang secara signifikan kepada “mengukuhkan solidariti Islam, mempromosikan nilai Islam di seluruh dunia” dan “memerangi Islamofobia.”
D-8 ditubuhkan pada 15 Jun 1997 di Istanbul dianggotai Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan, dan Turkiye dengan jumlah penduduk negara-negara anggota D-8 adalah kira-kira 1.2 bilion
Semua negara anggota juga adalah sebahagian daripada ahli Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) manakala sekretariat organisasi itu berpusat di Istanbul.
Nnnn
