BAITULMAQDIS – Kerajaan Israel meluluskan rancangan meningkatkan penduduk di Bukit Golan, yang dikuasai rejim Zionis, kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Israel juga menegaskan tidak berhasrat untuk berkonfrontasi dengan Syria selepas merampas zon penampan dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam kenyataan semalam, kerajaan ‘sebulat suara meluluskan’ rancangan bernilai 40 juta shekel (RM49.39 juta) bagi ‘pembangunan demografi di Bukit Golan susulan peperangan dan pentadbiran baharu di Syria serta hasrat menggandakan penduduk’.
Bukit Golan menempatkan hampir 30,000 warga Israel dan kira-kira 23,000 penduduk Arab Druze, yang kehadirannya mendahului pendudukan rejim Zionis, dengan kebanyakannya masih mengekalkan kewarganegaraan Syria.
Netanyahu sebelum ini, mengarahkan tentera menguasai zon bebas tentera di Bukit Golan, ketika Presiden Syria, Bashar al-Assad digulingkan, minggu lalu, selain mengisytiharkan ia akan kekal menjadi milik Israel.
Ia susulan arahan diberikan Netanyahu supaya tentera melintasi zon penampan dipantau PBB yang memisahkan pasukan Israel dan Syria, sejak 1974.
Israel menduduki sebahagian besar Bukit Golan, sejak 1967, dan menawan kawasan itu pada 1981, dengan ia hanya diiktiraf Amerika Syarikat (AS) manakala Arab Saudi dan Qatar mengecam tindakan Israel itu.
