Penduduk zon bahaya diarah pindah

MANILA – Filipina mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk melengkapkan proses pemindahan penduduk dalam zon bahaya sekitar enam kilometer daripada Gunung Berapi Kanlaon berikutan peningkatan aktiviti gunung berapi itu.

Langkah itu diambil susulan peningkatan aktiviti gunung berapi yang mendorong pihak berkuasa bertindak pantas bagi melindungi penduduk daripada bahaya risiko.

Pada 9 Disember lalu, Kanlaon, yang terletak di sempadan Wilayah Negros Oriental dan Negros Occidental di Pulau Negros, Filipina tengah, meletus dengan menghamburkan kepulan besar abu yang menjulang lebih 4,000 meter ke udara.

Pengarah Pejabat Pertahanan Awam di Wilayah Visayas Barat Raul Fernandez, meminta pihak berkuasa tempatan di kedua-dua wilayah itu menyelesaikan pemindahan penduduk menjelang hari Isnin.

Bagaimanapun, terdapat segelintir penduduk yang enggan meninggalkan zon bahaya meskipun berdepan ancaman letusan besar.

Beliau menegaskan, kerajaan telah melaksanakan strategi pemindahan menyeluruh untuk menyelamatkan nyawa dan mengurangkan penderitaan sekiranya berlaku letusan yang dahsyat.

Jumaat lalu, Presiden Ferdinand  Marcos Jr memaklumkan, lebih 45,000 penduduk dari perkampungan sekitar gunung berapi itu telah dipindahkan dan menyasarkan pemindahan kira-kira 84,000 penduduk yang berada dalam zon bahaya.

Related posts

Leave a Comment