BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan siaran video tahanan mangsa culik warga Israel-Amerika Syarikat (AS) oleh kumpulan Hamas sebagai serangan psikologi kejam.
Netanyahu juga memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa beliau telah memberitahu keluarga mangsa culik Edan Alexander melalui panggilan telefon bahawa Israel sedang berusaha keras untuk membawa pulang tahanan berkenaan.
Terdahulu Hamas menyiarkan video tahanan berkenaan yang merayu kepada Presiden AS dipilih, Donald Trump untuk mengusahakan pembebasan mereka.
Yael Alexander, ibu kepada Edan, berkata beliau terkesan melihat video selama tiga minit setengah itu, yang memaparkan anak lelakinya berusia 20 tahun kelihatan pucat, duduk dalam ruang gelap dan bersandar pada dinding.
Dalam video berkenaan, Edan memperkenalkan dirinya serta menyampaikan mesej kepada keluarganya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Trump.
“Video berkenaan memberi kami harapan, tetapi ia juga menunjukkan betapa sukarnya keadaan Edan dan tahanan lain, serta betapa mereka merayu dan berdoa kami menyelamatkan mereka,” kata Alexander pada satu perhimpunan di Tel Aviv menyeru pembebasan tahanan berkenaan.
Edan sebelum ini adalah seorang askar apabila diculik, sebelum dibawa ke Gaza ketika perang Israel-Palestin tercetus pada 7 Oktober 2023.
Kira-kira separuh daripada 101 warga asing dan Israel yang masih ditahan di Gaza dipercayai masih hidup.
Pemimpin Hamas tiba di Kaherah pada Sabtu bagi berbincang mengenai gencatan senjata bersama pegawai Mesir untuk mencari jalan mencapai persetujuan pembebasan mangsa culik sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin.
Percubaan baharu berkenaan dibuat selepas AS baru-baru ini mengumumkan usaha untuk menghidupkan semula rundingan ke arah tujuan terbabit
Pentadbiran Joe Biden, yang kekal bertugas sehingga pelantikan Trump pada 20 Januari, menyatakan sedang bekerja ’24 jam’ untuk memastikan pembebasan warga AS yang ditahan oleh Hamas.
“Kami mempunyai peluang kritikal untuk menyempurnakan perjanjian bagi membebaskan tebusan, menghentikan peperangan dan meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Sean Savett.
Menurut pegawai kanan Hamas yang tidak mahu identitinya didedahkan berkata, pihaknya sedia untuk membincangkan semua idea dan cadangan mengenai kemungkinan gencatan senjata di Gaza.
